AS–HSBC ikat perjanjian pemilikan kereta

AS–HSBC ikat perjanjian pemilikan kereta

WASHINGTON, 9 Ogos – Jabatan Keadilan mengumumkan semalam ia telah mencapai perjanjian berjumlah AS$434,500 dengan HSBC Finance Corporation mengenai pemilikan semula kereta yang dimiliki oleh anggota perkhidmatan tentera.

Perjanjian merangkumi pemilikan semula 75 buah kereta yang berlaku di antara 2008 dan 2010 dan yang dikatakan oleh pegawai persekutuan dilakukan tanpa arahan mahkamah yang betul.

Perjanjian itu membatalkan dakwaan mengatakan HSBC mencabul Akta Bantuan Awam Anggota Tentera, yang bertujuan melindungi hak orang dalam tentera dan menyediakan perlindungan ke atas pemilikan semula kereta.

Di bawah undang-undang, hakim sepatutnya mengkaji semula dan meluluskan pemilikan semula kereta dalam situasi apabila seorang anggota tentera mengambil pinjaman kereta dan membuat bayaran sebelum memulakan perkhidmatan tentera. Hakim juga boleh menangguh urus niaga atau melantik peguam untuk mewakili anggota tentera.

Namun kerajaan persekutuan berkata HSBC mengelak undang-undang dengan gagal mendapatkan arahan mahkamah sebelum memiliki semula kereta.

“Anggota tentera tidak perlu berasa bimbang mereka akan kehilangan kereta mereka ketika mereka menjalankan tugas,” kata Vanita Gupta, ketua Divisyen Hak Awam Jabatan Keadilan, dalam satu kenyataan.

HSBC pada 2010 menjual operasi pinjaman kereta dan aset kepada Santander Consumer USA Inc., yang pada tahun lalu mencapai perjanjian pembayaran berjumlah AS$10.5 juta dengan Jabatan Keadilan untuk pemilikan semula yang salah.

Jabatan Keadilan berkata kebanyakan anggota tentera berhutang pampasan di bawah perjanjian ini juga menerima sebahagian bayaran pampasan menerusi perjanjian Santander. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA