AS ikrar akan lakukan sekali lagi

AS ikrar akan lakukan sekali lagi

BEIJING, 28 Okt (AFP) – Media China mengecam AS hari ini selepas Washington menghantar sebuah kapal perang ke perairan Laut China Selatan dan berikrar akan melakukannya sekali lagi, sementara warga Internet menggunakan media sosial itu untuk meluahkan cercaan marah mereka, menuntut reaksi lebih keras daripada Beijing.

Perairan yang dipertikaikan itu telah menjadi pentas pertarungan di antara dua kuasa ekonomi dan tentera terbesar dunia tatkala mereka bergelut untuk menguasai kawasan serantau.

Dalam tindakan terbaru, AS menghantar kapal pembinasa USS Lassen dalam jarak 12 batu nautika dari pulau tiruan di Laut China Selatan yang dibina baru-baru ini oleh Beijing di terumbu meskipun terdapat tuntutan bersaingan dari negara jirannya, termasuk sekutu Washington Manila.

Tentera laut AS akan menghantar lebih banyak kapal perang, kata pegawai AS lewat semalam, memberitahu AFP: “Kami akan melakukannya sekali lagi. Kami belayar di perairan antarabangsa pada masa dan tempat yang dipilih oleh kami.”

Sebelum operasi semalam, Beijing berkali-kali mengingatkan ia akan mengambil tindakan keras ke atas mana-mana negara yang mencabul kedaulatan wilayahnya.

Namun apabila rondaan tiba akhirnya, Beijing hanya menjejaki dan memberi amaran kepada kapal, tanpa campur tangan secara fizikal.

Berbalik kepada formula sebelumnya, ia memanggil duta AS supaya membantah, mengecam tindakan Washington, dan mengeluarkan ancaman samar-samar bahawa ia akan “memberi respons tegas.”

Komentar dalam media negeri China adalah terkawal, meminta China supaya bertenang ketika menghadapi provokasi Amerika.

Malah Global Times, terkenal dengan retorik nasionalistiknya, mengeluarkan satu kenyataan meminta kesabaran, menekankan keperluan menunjukkan kelebihan moral oleh China ketika menghadapi apa yang digambarnya sebagai perbuatan membuli Washington.

“Pentagon jelasnya sedang membangkitkan kemarahan China,” katanya dalam satu editorial hari ini.

“Jika kami rasa malu dan mengeluarkan kata-kata kasar, ia hanya akan mendorong AS mencapai matlamatnya.”

ARTIKEL YANG SAMA