AS, Jamaica kongsi emas 4x400m

AS, Jamaica kongsi emas 4x400m

BEIJING, 31 Ogos (AFP) – Kuartet Amerika Syarikat (AS) berjaya mengungguli acara akhir 4×400 meter lelaki dalam Kejohanan Olahraga Dunia 2015 dengan catatan masa dua minit 57.82 saat namun rakan wanita mereka dikejutkan oleh Jamaica di Stadium Nasional semalam.

Pasukan lelaki AS yang dibarisi David Verburg, Tony McQuay, Bryshon Nellum dan Lashawn Merritt beraksi cemerlang untuk meraih pingat emas manakala perak menjadi milik Trinidad dan Tobago dengan masa 2:58.20s dan gangsa diraih Britain yang menamatkan larian dalam masa 2:58.51s.

Bagaimanapun, acara 4x400m wanita menyaksikan kuartet Jamaica berjaya mengejutkan AS yang merupakan juara Olimpik.

Kuartet Jamaica yang dibarisi Christine Day, Shericka Jackson, Stephenie Ann McPherson dan Novlene Williams-Mills mencatat masa 3:19.13s menewaskan AS yang dianggotai ratu pecut mereka seperti Allyson Felix (3:19.44s) di tempat kedua manakala gangsa milik Britain (3:23.62s).

Kathrina Molitor dari Jerman pula meraih pingat emas merejam lembing wanita dengan jarak 67.69m untuk mencatat kejayaan pertamanya dalam kejohanan besar pada usia 31 tahun.

Pingat perak menjadi milik Huihui Lyu dari China dengan jarak 66.13m manakala gangsa menjadi milik Sunette Viljoen (65.79m) dari Afrika Selatan.

Dalam pada itu, atlet jarak jauh dari Kenya, Asbel Kiprop membuktikan dirinya masih sukar dicabar apabila berjaya meraih pingat emas kali ketiga berturut-turut dalam acara 1,500m semalam.

Kiprop, yang memenangi pingat emas Olimpik 2008 di Beijing, mencatat masa 3:34.40s, menewaskan rakan senegara Elija Manangoi (3:34.63s) yang meraih pingat perak manakala Abdalaati Iguider (3:34.67) dari Maghribi ketiga.

Saingan akhir 5,000m wanita menyaksikan Habsyah mendominasi acara tersebut apabila meraih pingat emas, perak dan gangsa.

Pingat emas menjadi milik Almaz Ayana yang mencatat masa 14:26.83s, perak milik Senbere Teferi (14:44.07s) dan gangsa Genzebe Dibaba (14:44.14s).

ARTIKEL YANG SAMA