AS, JIT terus siasat nahas MH17

AS, JIT terus siasat nahas MH17

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Amerika Syarikat hari ini sekali lagi menegaskan komitmennya akan terus bekerjasama dengan Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) untuk menyiasat nahas pesawat Malaysia Airlines MH17.

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, John Kirby juga meminta negara lain yang mempunyai kedudukan untuk membantu, bekerjasama sepenuhnya bagi membolehkan pihak yang bertanggungjawab dapat diadili.

Semalam, Belanda yang mengetuai JIT, membuat kesimpulan dalam laporan interim bahawa MH17 ditembak jatuh menggunakan pelancar peluru berpandu Buk yang dibawa dari Rusia ke Ukraine.

Sementara itu, menurut kenyataan dari laman web pasukan Perkhidmatan Pendakwaan Awam Belanda, pelancar peluru berpandu Buk dilancarkan dari sebuah ladang berhampiran bandar Pervomaiskyi, yang pada ketika itu, dikawal oleh pejuang pro-Rusia.

“Walaupun tiada apa yang boleh memadamkan kesedihan mereka yang kehilangan insan yang disayangi pada hari tragik itu, pengumuman ini adalah satu lagi langkah ke arah membawa mereka yang bertanggungjawab melakukan serangan itu ke muka pengadilan,” kata Kirby dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Amerika di Malaysia di sini.

Norlin Mohd Noor, 49, adik bongsu kepada Allahyarhamah Norahimah Tournier Mohd Noor, mengikuti perkembangan terkini pembentangan laporan MH17 menerusi televisyen di kediamannya hari ini.
 Allahyarhamah adalah antara 298 penumpang dan anak kapal MH17 yang terkorban apabila ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014. - BERNAMA
Norlin Mohd Noor, 49, adik bongsu kepada Allahyarhamah Norahimah Tournier Mohd Noor, mengikuti perkembangan terkini pembentangan laporan MH17 menerusi televisyen di kediamannya hari ini.
 Allahyarhamah adalah antara 298 penumpang dan anak kapal MH17 yang terkorban apabila ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 17 Julai 2014. – BERNAMA

Kirby berkata dapatan itu menyokong kenyataan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry selepas tragedi MH17 ditembak jatuh menggunakan pelancar peluru berpandu Buk darat ke udara yang dilancarkan dari wilayah yang dikuasai kumpulan pemisah disokong Rusia, di timur Ukraine.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia mahu tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17, dan hanya itu satu-satunya cara. – Bernama