AS jual bom pintar kepada Arab Saudi

AS jual bom pintar kepada Arab Saudi

pg18_151118_b

WASHINGTON, 17 Nov – Jabatan Negara AS meluluskan jualan bom pintar dan pelbagai senjata lain bernilai AS$1.2 bilion (RM5.3 bilion) kepada Arab Saudi bagi menokok bekalan senjata negara itu yang digunakan menentang pemberontak di Yaman dan serangan udara terhadap IS di Syria.

Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA), di bawah kendalian Pentagon yang menyelaras penjualan senjata kepada negara asing, memaklumkan kepada Kongres pada Jumaat bahawa jualan itu sudah diluluskan.

Kongres ada masa dalam tempoh 30 hari untuk menghalang penjualan itu, satu langkah formaliti kerana sebarang janji niaga biasanya sudah diperhalusi terlebih awal sebelum persetujuan dicapai.

Penjualan senjata berkenaan menzahirkan komitmen Presiden Barack Obama memperkukuh sokongan ketenteraan AS kepada Arab Saudi dan sekutu Ahli Sunnah di bawah panji Majlis Kerjasama Teluk selepas pentadbiran beliau sebelum ini memeterai perjanjian nuklear dengan negara Syiah, Iran.

Mengikut DSCA, penjualan senjata berkenaan akan membantu menokok bekalan senjata Tentera Udara Arab Saudi yang semakin susut kerana digunakan dalam pelbagai misi sekarang, serta sebagai stok masa depan.

Program jualan senjata itu merangkumi 22,000 bom pintar dan bom pelbagai guna termasuk 1,000 GBU-10 bom dipandu laser dan lebih 5,000 unit kit Serangan Bersama untuk menjadikan bom generasi terdahulu menjadi senjata lebih canggih. – Reuters