AS julang Piala Fed

MINSK, 13 Nov – Amerika Syarikat (AS) menjulang Piala Fed buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun, menerusi kejayaan gandingan beregu, Shelby Rogers dan CoCo Vandeweghe yang menang dalam perlawanan penentuan final, awal pagi tadi.

Vandeweghe dan Rogers menang 6-3, 7-6 (7/3) ke atas gandingan Belarus, Aryna Sabalenka dan Aliaksandra Sasnovich, sekali gus memberikan AS kemenangan 3-2, serta mahkota ke-18 Piala Fed.

“Saya amat teruja untuk kesemua empat pemain kami,” kata kapten AS, Kathy Rinaldi.

“CoCo (Vandeweghe) keluar dan menampilkan permainan yang luar biasa. Shelby (Rogers) juga bangkit. Sloane (Stephens), saya juga kecewa seperti dirinya, tetapi dia banyak bergelut pada minggu ini, dia bertarung sehingga ke penghujung. Saya amat berbangga dengan keempat-empat mereka.”

Sebelum itu, Vandeweghe meletakkan AS 2-1 di depan, selepas menewaskan Sabalenka 7-6 (7/5), 6-1, tetapi Sasnovich bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Sloane Stephens, 4-6, 6-1, 8-6 sekali gus menyamakan kedudukan 2-2 untuk Belarus.

Pasukan AS meraikan kejayaan mereka selepas menewaskan Pasukan Belarus difinal Piala Fed di Minsk. AS menjulang Piala Fed buat kali pertama dalam tempoh 17 tahun. – AFP

Pada aksi terakhir, Sabalenka, 19, dan Sasnovich, 23, melepaskan servis mereka pada set pertama untuk memberikan kelebihan kepada gandingan AS selepas 26 minit bertarung.

Gandingan Belarus itu begitupun bangkit untuk mematikan servis Vandeweghe dan Rogers pada set kedua dan mendahului 5-2, tetapi pasukan pelawat merampas kembali servis mereka dua kali untuk menyamakan kedudukan 5-5.

Ketika detik genting, Sabalenka dan Sasnovich sekali lagi mematikan servis Rogers, tetapi gandingan AS itu tidak mengalah di sebalik suasana tegang di Minsk dengan ribuan peminat tuan rumah menantikan kejayaan pertama Belarus untuk memenangi Piala Fed.

Sabalenka kemudian sekali lagi menggugurkan set yang membawa kepada penentuan ‘tie-break’, sebelum gandingan lebih berpengalaman dari AS meraih kemenangan. – AFP