AS Ke Separuh Akhir

AS Ke Separuh Akhir

BALTIMORE, Maryland, 22 Julai – Juara bertahan Piala Emas, Amerika Syarikat (AS) mara ke separuh akhir setelah membelasah Cuba 6-0 yang turut menyaksikan penyerang, Clint Dempsey meledakkan enam gol dalam empat perlawanan.

Lawan yang bakal menanti The Yanks di separuh akhir ialah Jamaica yang menyingkirkan Haiti 1-0 dalam satu lagi aksi suku akhir, semalam.

“Saya fikir kami berada dalam keadaan terbaik. Kami berjaya mengatasi lawan dengan baik dan kami juga telah melakukan persediaan rapi. Kami tidak akan mengambil mudah terhadap lawan kami,” kata jurulatih AS, Jurgen Klinsmann.

Dempsey menghasilkan hatrik buat kali pertama untuk skuad negaranya ketika membantu AS membenam Cuba 6-0 dalam suku akhir, semalam selepas penyerang itu menyumbat gol pendahuluan. Bagaimanapun bekas bintang Fulham itu dijangka berdepan tugas getir apabila melayan kunjungan juara kepulauan Caribbean, Jamaica nanti.

“Kami menjangkakan aksi separuh akhir nanti sudah pasti sengit. Kami perlu memastikan serangan kami tajam dan melakukan apa sahaja supaya boleh meraih kemenangan,” tegas Dempsey.

Clint Dempsey menanduk bola untuk menewaskan penjaga gol Cuba, Disovelis Guerra (21) dalam aksi Piala Emas di Stadium M&T Bank kelmarin. - Reuters
Clint Dempsey menanduk bola untuk menewaskan penjaga gol Cuba, Disovelis Guerra (21) dalam aksi Piala Emas di Stadium M&T Bank kelmarin. – Reuters

Klisnmann pula amat mengharapkan yang dia dapat menggunakan sepenuhnya khidmat Dempsey pada pertemuan separuh akhir tersebut, setelah pemain itu mengumpul 47 gol di pentas antarabangsa, hanya kurang 10 jaringan daripada penjaring terbanyak AS iaitu Landon Donovan.

Dalam perkembangan berasingan, Mexico terpaksa membayar harga mahal ketika menumpaskan Costa Rica 1-0 selepas tonggak pertahanan mereka, Yasser Corona tidak dapat meneruskan kempen Piala Emas setelah mengalami kecederaan di bahagian lutut, kata Persekutuan Bola sepak Mexico (FMF).

Corona merupakan pemain ketiga dikeluarkan daripada skuad negaranya selepas penyerang, Javier Hernandez serta pertahanan, Hector Moreno yang terlebih dahulu digugurkan. – AFP