AS kejutkan Jerman

AS kejutkan Jerman

COLOGNE, Jerman, 11 Jun (AFP) – Amerika Syarikat (AS) di bawah bimbingan Jurgen Klinsmann terus membuat kejutan dengan menundukkan juara dunia, Jerman 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi.

Kemenangan itu meneruskan rentetan kemenangan AS pada aksi persahabatan selepas turut mengejutkan pasukan tempat ketiga Piala Dunia di Brazil, Belanda.

Bobby Wood, yang beraksi bersama kelab divisyen tiga Jerman, Erzgebirge Aue menjaringkan gol kemenangan AS pada minit-minit terakhir permainan.

Ia bagaikan mimpi menjadi kenyataan buat pemain berusia 22 tahun itu yang turut meledak jaringan kemenangan ketika AS bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan Belanda 4-3 di Amsterdam, Jumaat lepas. Bagi Jerman yang gah menjulang Piala Dunia 2014 di Brazil, ia kekalahan ketiga sejak menundukkan Argentina di pentas final.

“Ia perlawanan kecil yang menyeronokkan dengan penyudah yang gembira buat kami,” kata pengendali kelahiran Jerman, Klinsmann yang membimbing AS sejak 2011.

Reaksi pemain Jerman yang kecewa selepas tewas kepada AS pada perlawanan persahabatan di Cologne, Jerman semalam. – Reuters
Reaksi pemain Jerman yang kecewa selepas tewas kepada AS pada perlawanan persahabatan di Cologne, Jerman semalam. – Reuters

Ketika membimbing Jerman, Klinsmann membantu Jerman menduduki tempat ketiga Piala Dunia 2006.

“Semua pemain saya amat gembira dan dengan cara perlawanan berjalan pada babak kedua, kemenangan yang sepatutnya diraih.

“Kemenangan ini akan membuatkan bola sepak di AS lebih tumpuan,” kata Klinsmann yang akan membawa skuad bimbingannya ke saingan Piala EMAS CONCACAF bulan depan.

Kekalahan buat Jerman jelas bukan sesuatu yang diharapkan menjelang perlawanan kelayakan Euro 2016, Sabtu ini apabila mereka bertemu Gibraltar di laman lawan selain Portugal.

“Tahap tenaga kami menurun ketika perlawanan berlangsung dan kami tidak dapat bertindak balas dengan baik,” kata jurulatih Jerman, Joachim Loew.

“Jika kami mengambil semua peluang pada awal perlawanan, AS sudah pasti tidak mampu untuk bangkit selepas ketinggalan dengan dua atau tiga jaringan,” katanya.

Jerman di depan menerusi jaringan Mario Goetze pada babak pertama namun AS menyamakan kedudukan menerusi Mikkel Diskerud sebelum separuh masa berakhir.

Ini kali kedua AS mencatat kemenangan ke atas Jerman selepas kemenangan di Washington pada 2013. Loew adalah bekas pembantu jurulatih Klinsmann ketika dia mengemudi Jerman.