AS kempunan Piala Dunia 2018

COUVA, Trinidad & Tobago, 11 Okt – Amerika Syarikat gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1986 pada Selasa selepas tewas 2-1 kepada Trinidad dan Tobago yang sudah pun tersingkir.

Dalam satu keputusan yang akan dilihat sebagai malapetaka bola sepak di AS, Trinidad mengambil tiga mata penuh menerusi gol sendiri Omar Gonzalez dan rembatan kencang Alvin Jones.

Bintang AS Christian Pulisic menjaringkan gol pada babak kedua tetapi skuad AS yang semakin terdesak tidak dapat mencari gol lain untuk menyelamatkan harapan mereka.

Penyingkiran mereka telah disahkan oleh keputusan lain kelayakan CONCACAF semalam, di mana Panama menempah tempat ke Piala Dunia buat kali pertama dengan kemenangan 2-1 ke atas Costa Rica di Panama City.

Honduras kemudian merampas tempat keempat dengan kemenangan 3-2 ke atas Mexico, yang sudah pun layak. Honduras kini akan berdepan Australia dalam play-off dua pusingan bulan depan untuk menempah tempat di peringkat akhir.

Reaksi pemain AS, Michael Bradley (kiri) dan Christian Pulisic (kanan) selepas pasukan mereka tewas kepada Trinidad & Tobago dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia Stadium Ato Boldon di Couva, kelmarin sekali gus memadamkan rekod tidak pernah ‘ponteng’ daripada pentas final sukan global itu sejak 1986.– AFP

Tetapi kejutan malam itu adalah kegagalan AS mengatasi halangan akhir. Jurulatih AS, Bruce Arena berkata, pasukannya gagal. Pasukannya hanya memerlukan seri di Stadium Ato Boldon untuk memastikan sekurang-kurangnya tempat dalam play-off.

Selepas mengalahkan Panama 4-0 Jumaat lalu, AS telah tiba di Caribbean dengan keyakinan akan memperoleh keputusan yang diperlukan untuk melebarkan rekod mencabar untuk setiap Piala Dunia sejak 1990.

Namun semuanya menjadi tidak kena kepada pemain Arena selepas 17 minit apabila usaha Gonzalez mengawal keadaan selepas bola melepasi Tim Howard untuk meletakkan Trinidad dan Tobago 1-0.

Ia semakin teruk selepas setengah jam ketika Alvin Jones menjaringkan gol mudah untuk menggandakan pendahuluan Trinidad dan Tobago. – AFP