AS kerah tentera padam kebakaran hutan

AS kerah tentera padam kebakaran hutan

SALMON, Idaho, 18 Ogos – Tentera Amerika Syarikat semalam mula mengerahkan 200 anggotanya untuk membantu anggota pemadam menangani kebakaran hutan yang teruk di beberapa negeri di bahagian Barat, kali pertama pengerahan seumpama itu dalam tempoh sembilan tahun.

Anggota tentera terbabit dari Pangkalan Bersama Lewis-McChord berhampiran Tacoma, Washington, akan diagihkan kepada 10 pasukan dengan 20 anggota setiap satu, yang kesemuanya akan dihantar mengesan kebakaran yang masih belum ditangani, menurut Pusat Kebakaran Antara Agensi Kebangsaan di Boise, Idaho.

Para pengarah jabatan bomba dan pemadam memohon pengerahan tentera tersebut, kali pertama seumpamanya sejak 2006, tatkala anggota krew awam dari agensi persekutuan, negeri dan tempatan berhempas pulas untuk mengekang sejumlah besar kebakaran hutan yang sudah memusnahkan lebih 405,000 hektar wilayah barat di tengah-tengah suhu panas yang melanda rantau dicengkam kemarau tersebut.

Di antara kawasan yang paling teruk dilanda kebakaran hutan ialah utara Idaho, di mana seorang warga emas maut dan sekurang-kurangnya 50 buah rumah musnah akibat kebakaran hutan di sepanjang Sungai Clearwater dan di sekitar Hutan Simpan Nez Perce Indian sejak minggu lepas.

Kebakaran di kawasan Kompleks Clearwater turut menghanguskan lebih 20,000 hektar kawasan balak dan menjurus kepada pemindahan penghuni lebih 100 buah rumah dari sekitar bandar pembalakan Orofino dab Kamiah, kata pihak berkuasa. Seorang wanita warga emas meninggal dunia malam Jumaat lepas atau awal Sabtu ketika kebakaran mencecah kawasan Kamiah dari tiga penjuru, menurut Sherif Daerah Idaho, Doug Giddings.

Cheryl Wissler, 70, sedang cuba menyelamatkan ternakan ayamnya di belakang rumah sebelum melarikan diri bersama-sama suaminya apabila tiba-tiba beliau terjatuh lalu cedera di bahagian kepala, kata Giddings. – Reuters

Anggota pemadam memeriksa bangunan yang hangus sama sekali akibat kebakaran hutan di Pusat Pemulihan Warm Springs di Warm Fire pada 17 Ogos 2015 di Hutan Kebangsaan Angeles di utara Castaic, California. – AFP
Anggota pemadam memeriksa bangunan yang hangus sama sekali akibat kebakaran hutan di Pusat Pemulihan Warm Springs di Warm Fire pada 17 Ogos 2015 di Hutan Kebangsaan Angeles di utara Castaic, California. – AFP