AS komited sokong Komuniti ASEAN

AS komited sokong Komuniti ASEAN

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Perhatian utama Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama di Asia Tenggara adalah pengesahan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Selain itu, sokongan berterusan Sidang Kemuncak Asia Timur sebagai cara menangani dan menguruskan kepentingan bersama, terus terlibat dalam perkongsian strategik AS-ASEAN yang baru sahaja dimuktamadkan tahun lalu serta menyokong peralihan komuniti ASEAN.

“Bukan sahaja sebagai komuniti ekonomi malahan juga sebagai komuniti politik, sosial dan kebudayaan,” ujar Timbalan Penolong Setiausaha Hal Ehwal Multilateral di Timur Asia dan Biro Pasifik, Colin Willett semasa sesi temu bual di Hotel Radisson, di sini, hari ini.

Menurut beliau lagi, Presiden Barack Obama akan datang semula ke Laos bagi sidang kemuncak terakhirnya dan “saya rasa beliau teruja untuk meninggalkan pejabat dengan perasaan bahawa hubungan AS-ASEAN lebih kukuh daripada sebelumnya (apabila beliau memasuki pejabat)”.

Colin Willett telah berkhidmat sebagai pengarah kakitangan Majlis Keselamatan Negara bagi Asia Tenggara dari Mei 2011 hingga Disember 2014.

Colin Willett ketika ditemu bual wartawan Media Permata.
Colin Willett ketika ditemu bual wartawan Media Permata.

Dalam jawatan itu, beliau menasihatkan Presiden AS dan pegawai-pegawai kanan di Rumah Putih mengenai pelbagai isu, termasuk penglibatan AS dengan Myanmar, kerjasama strategik AS dengan ASEAN, Sidang Kemuncak Asia Timur, Laut China Selatan, dan hubungan Amerika Syarikat dengan negara-negara di Asia Tenggara.

Beliau mempunyai hampir 16 tahun pengalaman bekerja dalam bidang politik, ekonomik, dan keselamatan di Asia Timur.

Beliau yang dalam kunjungan ke negara ini bersama rombongannya, berkata, mereka telah mengadakan perbincangan bersama pihak Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, yang sebahagian besarnya menyentuh mengenai isu strategi sekitar bagi keselamatan serantau, isu Laut China Selatan, dan sedikit mengenai kes timbang tara yang belum selesai.

“Bersama saya adalah beberapa orang ahli yang pakar mengenai undang-undang maritim. Jadi kami mengadakan perbincangan mengenai apa yang kami fikir bagaimana peraturan tribunal memberi makna bagi rantau ini dan bagaimana pendekatan kami (sebagai pihak yang berkepentingan) terhadapnya.”

Dalam pada itu, beliau juga menyatakan perasaan terujanya mengenai komuniti ASEAN, yang menurutnya, sebagai gabungan komuniti kecil yang bersepadu, banyak persamaan boleh dilihat dalam kalangan ahli-ahlinya.

Persamaan ini, tekannya, boleh dilihat daripada aspek pendidikan, inovasi, program pertukaran pelajar, latihan Bahasa Inggeris dan hubungan dua hala antara AS dan negara-negara ASEAN.

“Pada pendapat saya, inisiatif pemimpin ASEAN ini membuka peluang kepada generasi muda di rantau ini untuk lebih melibatkan diri dalam pelbagai aspek yang difikirkan berkepentingan,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA