AS kritik kenyataan anti-LGBT Indonesia

AS kritik kenyataan anti-LGBT Indonesia

WASHINGTON, 12 Ogos – Amerika Syarikat (AS) semalam telah mengkritik kenyataan Indonesia yang mengatakan ‘tiada ruang’ untuk komuniti gay di negara dengan penduduk Islam paling ramai di dunia itu.

“Kami menggesa Indonesia, yang berbangga dengan kepelbagaian dan toleransi, untuk menghormati dan menegakkan hak-hak dan standard antarabangsa dengan memastikan hak dan perlindungan yang saksama kepada semua rakyatnya,” kata jurucakap Jabatan Negara Elizabeth Trudeau kepada pemberita.

Terdahulu, jurucakap presiden Indonesia Johan Budi memberitahu AFP bahawa “hak-hak rakyat seperti pergi ke sekolah dan mendapat kad pengenalan diri adalah dilindungi, tetapi tiada ruang di Indonesia untuk percambahan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).”

Washington “memantau secara dekat laporan tindakan yang mungkin di ambil Indonesia yang akan menyekat kebebasan bersuara individu LGBT,” kata Trudeau.

Laporan pemerhati hak asasi manusia mendapati dalam tempoh dua bulan awal tahun ini, komuniti itu terus diberi tekanan berikutan kecaman menteri, kumpulan agama dan pertubuhan Islam berpengaruh, termasuk gesaan mengharamkan mereka daripada kampus universiti. – AFP