AS kukuhkan hubungan dengan Vietnam

AS kukuhkan hubungan dengan Vietnam

WASHINGTON, 8 Julai (Agensi) – Presiden Barack Obama berkata semalam bahawa di sebalik perbezaan antara Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam berhubung ‘falsafah politik’, kedua-dua negara mengukuhkan lagi kerjasama berhubung kesihatan, cuaca dan isu-isu lain.

Obama berkata demikian ekoran rundingan Oval Office dengan Nguyen Phu Trong, ketua Parti Komunis Vietnam. Trong adalah pemimpin de facto Vietnam meskipun tidak memegang jawatan rasmi kerajaan.

Dua puluh tahun selepas menjalin hubungan diplomatik dengan negara yang pernah menjadi musuhnya, AS ingin meningkatkan hubungan dengan Vietnam. Para pegawai melihat Vietnam sebagai sebuah negara yang boleh menjadi penting dalam dasar Asia Obama. Sebagai negara di barisan hadapan yang gelisah dengan perluasan kuasa China di Laut China Selatan, Vietnam juga akan menyambut baik tindakan AS mengambil pendirian keras terhadap Beijing.

Meskipun ketika Obama dan Trong menekankan bidang-bidang kerjasama, presiden AS itu berkata mereka dengan berterus terang bercakap tentang hak asasi kemanusiaan dan kebebasan beragama di Vietnam.

Trong berkata beliau telah menghulurkan jemputan kepada Obama untuk melawat Vietnam dan presiden telah menerimanya. Sementara Obama mengambil perhatian akan jemputan itu, beliau tidak membuat komitmen khusus untuk pergi ke Vietnam ketika dalam tempoh beliau menjadi presiden.

Nguyen Phu Trong ketika berjumpa dengan Barack Obama di Rumah Putih. - AFP
Nguyen Phu Trong ketika berjumpa dengan Barack Obama di Rumah Putih. – AFP

Presiden Bill Clinton dan George W Bush telah melawat Vietnam selepas hubungan diplomat dijalin.

Obama adalah presiden pertama selepas Perang Vietnam yang belum dewasa sewaktu peperangan itu terjadi. Peperangan itu masih merupakan peristiwa yang ditakrifkan dalam kehidupan dua suara dasar luar terkenal di negara itu, Setiausaha Negara John Kerryd dan Senator John McCain, pengerusi Republikan Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat.

Ekoran pertemuan Rumah Putih itu, Timbalan Presiden Joe Biden telah menerima kedatangan Trong bagi makan malam di Jabatan Negara.