AS luluskan penjualan senjata kepada Arab Saudi

AS luluskan penjualan senjata kepada Arab Saudi

WASHINGTON, 10 Ogos –Amerika Syarikat meluluskan penjualan lebih 153 kereta kebal, beberapa kenderaan perisai dan kelengkapan lain bernilai kira-kira AS$1.15 bilion kepada Arab Saudi.

Pengumuman itu bertepatan dengan berita bahawa pesawat perang gabungan Arab telah melakukan serangan udara semula ke atas bandar Yaman buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, membunuh 14 orang dan menutup lapangan terbang selepas rundingan PBB yang diusahakan digantung.

Jurucakap Jabatan Negara Elizabeth Trudeau berkata beliau “sangat khuatir” mengenai laporan mangsa semalam, tetapi tidak langsung mengulas apabila ditanya sama ada Jabatan Negara bimbang terhadap senjata AS yang dihantar ke Arab Saudi boleh digunakan terhadap orang awam.

“Kami sering berbincang dengan rakan-rakan dan sekutu kami di seluruh dunia. Anda tahu, korban awam jelas telah membimbangkan kami,” katanya.

Menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA), Riyadh telah meminta pembelian sehingga 133 kereta kebal AS M1A1/A2 Abrams yang akan dikonfigurasikan dengan keperluan Saudi, ditambah 20 lain untuk menggantikan kereta kebal rosak dalam armada mereka.

Kelengkapan senjata dari Amerika Syarikat (AS) yang dipunggah dari sebuah kapal di pelabuhan Beirut di Lebanon, semalam. AS telah meluluskan penjualan lebih 153 kereta kebal, beberapa kenderaan perisai dan kelengkapan lain bernilai kira-kira AS$1.15 bilion kepada Arab Saudi. – AP
Kelengkapan senjata dari Amerika Syarikat (AS) yang dipunggah dari sebuah kapal di pelabuhan Beirut di Lebanon, semalam. AS telah meluluskan penjualan lebih 153 kereta kebal, beberapa kenderaan perisai dan kelengkapan lain bernilai kira-kira AS$1.15 bilion kepada Arab Saudi. – AP

Selain itu, perjanjian itu juga termasuk 153 senapang, 266 senjata M240 berukuran 7.62mm, pelancar bom tangan asap, kenderaan berperisai dan pelbagai perkakasan lain.

Jabatan Negara Amerika Syarikat telah meluluskan ‘kemungkinan’ jualan ketika diberitahu Kongres pada hari Isnin, menurut DSCA.

Kongres mempunyai 30 hari untuk menyekat jualan itu, walaupun tidak mungkin untuk berbuat demikian.

“Jualan ini dicadangkan akan menyumbang kepada dasar luar dan keselamatan negara Amerika Syarikat dengan membantu untuk meningkatkan keselamatan rakan kongsi serantau strategik yang telah dan terus menjadi penyumbang utama kestabilan politik dan kemajuan ekonomi di Timur Tengah,” menurut DSCA dalam satu kenyataan.

“Penambahan kereta kebal dan kenderaan pemulihan kepada inventori (tentera Arab) akan meningkatkan keupayaan Arab Saudi untuk menyokong tenteranya di lapangan dan untuk mempertahankan sempadan Kingdom,” katanya. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA