AS mahu China tamatkan projek tebus guna di LCS

AS mahu China tamatkan projek tebus guna di LCS

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) – Amerika Syarikat mahu China menamatkan projek penebusgunaan tanah yang menimbulkan provokasi di Laut China Selatan (LCS), dan mengusahakan penyelesaian yang aman serta berkesan terhadap pertikaian itu.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry berkata Amerika berkongsi hasrat yang sering kali disuarakan oleh negara anggota ASEAN supaya keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dikekalkan.

“Kami mahu memastikan keselamatan di laluan laut dan kawasan perikanan yang penting ini, dan kami mahu melihat pertikaian di kawasan ini diuruskan dengan aman dan berlandaskan undang-undang antarabangsa,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-Amerika Syarikat di sini hari ini.

Kerry, yang mengetuai delegasi Amerika ke Pasca Persidangan Menteri-menteri Luar dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, turut memaklumkan menteri-menteri ASEAN bahawa pertemuannya dengan Menteri Luar China Wang Yi sebelum itu, berlangsung dengan baik.

“Saya amat berharap supaya dalam mesyuarat yang berlangsung sepanjang hari ini dan esok, kita akan dapat mencari jalan untuk mara ke hadapan bersama-sama dengan lebih berkesan,” katanya.

Setiausaha Negara AS John Kerry menyampaikan ucapan semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-AS di PWTC. – Bernama
Setiausaha Negara AS John Kerry menyampaikan ucapan semasa Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN-AS di PWTC. – Bernama

Menurut laporan, kerja-kerja penebusgunaan tanah yang dijalankan oleh China di perairan yang menjadi pertikaian itu membangkitkan kemarahan negara di Asia Tenggara.

Perbalahan timbul antara China, Taiwan dan negara anggota ASEAN iaitu Filipina, Malaysia, Vietnam dan Brunei berhubung pemilikan serta pengawalan Laut China Selatan, laluan air yang sibuk dan kaya dengan sumber, dalam konflik yang berlarutan selama beberapa dekad.

Ketegangan memuncak tahun lepas apabila China memulakan kerja-kerja membangunkan pulau buatan di Kepulauan Spratly, di tengah-tengah kebimbangan bahawa tindakan itu boleh menghalang kebebasan pelayaran dan penerbangan merentasi kawasan persinggahan utama bagi pengangkutan minyak serta barangan dunia.

Washington menggesa supaya dihentikan tindakan agresif oleh China dan negara penuntut yang lain bagi membolehkan perselisihan itu ditamatkan menerusi penyelesaian diplomatik.

Semalam, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman menggesa pegawai kanan ASEAN supaya memperhebatkan rundingan mereka berhubung pertikaian itu supaya Kod Tatalaku (CoC) dapat diwujudkan secepat mungkin. CoC adalah senarai peraturan yang akan melaksanakan mekanisme bagi mengelak konflik di Laut China Selatan yang kaya dengan sumber semula jadi.