AS menang tipis

AS menang tipis

RIO DE JANEIRO, 7 Ogos – Skuad bola sepak wanita Amerika Syarikat (AS) di landasan tepat untuk memenangi pingat emas kali keempat selepas kapten, Carli Lloyd memastikan kemenangan ke-13 berturut-turut dalam saingan Olimpik apabila menewaskan Perancis 1-0, hari ini.

Pemain terbaik dunia, Lloyd yang turut menjaringkan gol ketika AS menewaskan New Zealand 2-0 dalam aksi pembukaan, Rabu lalu meledak gol tunggal dalam perlawanan yang berlangsung di Belo Horizonte.

Kemenangan itu menjamin tempat buat AS untuk ke suku akhir berbaki satu perlawanan dalam saingan Kumpulan G – bertemu Colombia, awal pagi Rabu ini.

Perancis yang menunjukkan prestasi cemerlang ketika mengatasi Colombia 4-0 dalam aksi pembukaan mempamerkan penguasaan sepanjang tempoh 45 minit babak pertama.

Bagaimanapun, penjaga gol AS, Hope Solo menjadi wira dengan menyelamatkan percubaan berbahaya Marie Laure Delie yang membuat penampilan ke-200 bersama skuad wanita Perancis.

Pasukan Bola Sepak Olimpik Amerika Syarikat Wanita meraikan gol pertama mereka semasa perlawanan kumpulan G dalm kejohanan bola sepak Olimpik wanita di antara Amerika Syarikat dan Perancis di Stadium Mineirao di Belo Horizonte, Brazil. – AP
Pasukan Bola Sepak Olimpik Amerika Syarikat Wanita meraikan gol pertama mereka semasa perlawanan kumpulan G dalm kejohanan bola sepak Olimpik wanita di antara Amerika Syarikat dan Perancis di Stadium Mineirao di Belo Horizonte, Brazil. – AP

Juara dunia, AS tampil dengan aksi yang lebih baik di babak kedua dan Llyod berada di kedudukan tepat untuk menjaringkan gol kemenangan buat pasukan berkenaan.

Sementara itu, Kanada semakin hampir untuk mara ke pusingan kalah mati selepas mencatat kemenangan kedua dengan mengatasi Zimbabwe 3-1 di Sao Paulo.

Janine Beckie meledak dua gol manakala penyerang vateran, Christine Sinclair menjaringkan gol ke-163 di pentas antarabangsa menerusi sepakan penalti. – AFP