AS mula tahan...

AS mula tahan pendatang tanpa izin

WASHINGTON, 12 Feb – Pihak berkuasa Amerika Syarikat menahan beratus-ratus pendatang tanpa izin minggu ini dalam serbuan besar-besaran pertama selepas perlantikan Presiden Donald Trump, sehingga mencetuskan panik dalam kalangan komuniti imigran seluruh negara.

Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam Persekutuan (ICE) menahan pendatang tanpa dokumen perjalanan sah yang tinggal di Atlanta, Austin, Chicago, Los Angeles, New York dan bandar lain dua minggu selepas Trump menandatangani perintah eksekutif, untuk dihantar pulang. Menurut jurucakap ICE Jennifer Elzea, ia adalah operasi biasa.

“Fokus operasi ini tidak berbeza daripada rutin biasa harian pasukan operasi pelarian ICE untuk melakukan penahanan,” katanya.

Ketua operasi ICE Los Angeles, David Marin memberitahu wartawan, setakat ini kira-kira 160 orang sudah ditahan di California.

Gambar fail daripada ICE menunjukkan pegawai Penguatkuasa Imigresen dan Kastam AS menahan suspek dalam satu operasi penguatkuasaan pada 7 Februari 2017 di Los Angeles. – AFP
Gambar fail daripada ICE menunjukkan pegawai Penguatkuasa Imigresen dan Kastam AS menahan suspek dalam satu operasi penguatkuasaan pada 7 Februari 2017 di Los Angeles. – AFP

Katanya, kira-kira 75 peratus daripada mereka pernah terbabit jenayah dan beberapa yang lain ditahan semata-mata kerana tidak mempunyai dokumen sah.

Pada malam Jumaat lalu, kira-kira 37 pendatang tanpa izin sudah diusir ke Mexico.

Dalam perintah Trump yang berkuatkuasa pada 25 Januari lalu, keutamaan pengusiran adalah terhadap lelaki tanpa izin yang sabit kesalahan jenayah termasuk salah laku.

Perintah itu adalah salah satu langkah untuk memenuhi janji kempennya mengurangkan jumlah pendatang tanpa izin di Amerika yang dianggarkan berjumlah 11 juta orang. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA