AS, PBB kecam serangan hospital di Aleppo

AS, PBB kecam serangan hospital di Aleppo

ALEEPO, Syria, 29 April – Amerika Syarikat (AS) dan PBB semalam mengecam serangan udara ke atas sebuah hospital di Aleppo, Syria dengan Washington menuntut Rusia menahan sekutunya Syria.

Para pegawai PBB juga menyuarakan kebimbangannya dengan situasi yang ‘semakin teruk’ di Syria dan merayu kuasa-kuasa dunia supaya menyelamatkan gencatan senjata 27 Februari. Tetapi di Aleppo semalam, pertempuran antara para pemberontak dan pasukan rejim telah mengorbankan 53 orang awam – angka tertinggi bagi tempoh sehari dalam keganasan seminggu yang telah mengorbankan lebih 200 jiwa, menurut pemerhati.

Sementara itu tentera Syria dijangka melancarkan serangan ke atas pemberontak-pemberontak yang mengawal bahagian bandar utara. Setiausaha Negara John Kerry melahirkan ‘kemarahan’ ekoran serangan udara Rabu lalu yang menyerang hospital Al-Quds di kawasan Sukkari yang dikuasai pemberontak.

Menurutnya serangan itu nampaknya ‘serangan disengajakan ke atas kemudahan perubatan dikenali’ dan berkata Rusia, yang menyokong Presiden Syria Bashar al-Assad, mesti menahan rejim Damsyik.

“Rusia mempunyai tanggung jawab segera untuk menekan rejim supaya memenuhi komitmennya di bawah UNSCR 2254, termasuklah yang terutamanya, berhenti menyerang orang awam, tempat kemudahan perubatan, dan pemberi respons pertama dan sepenuhnya mematuhi penghentian perseteruan.”

Gambar yang diambil dari rakaman video menunjukkan pekerja Pertahanan Awam membawa kanak-kanak selepas serangan udara melanda Aleppo, Syria, pada Khamis lalu. – AP
Gambar yang diambil dari rakaman video menunjukkan pekerja Pertahanan Awam membawa kanak-kanak selepas serangan udara melanda Aleppo, Syria, pada Khamis lalu. – AP

Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon berkata serangan yang mensasarkan orang awam adalah pencabulan ‘yang tidak dapat dimaafkan’ ke atas undang-undang kemanusiaan. Pakar pediatrik terakhir yang tinggal di bandar itu dan tiga orang kanak-kanak adalah antara 20 orang yang terbunuh dalam serangan udara semalaman ke atas hospital Al-Quds, yang disokong oleh Doctors Without Borders (MSF).

Sebuah kumpulan pertahanan awam dikenali sebagai White Helmets memberitahu AFP, 30 orang terbunuh dalam serangan ke atas hospital dan blok-blok flat berhampiran. Keganasan di Aleppo telah menimbulkan kebimbangan pada gencatan senjata di kawasan-kawasan lain di Syria dan mengundang persoalan tentang masa depan rundingan damai di Geneva, yang mana PBB menjadi pihak perantara, yang kini berehat.

Utusan PBB Staffan de Mistura memberi amaran bahawa gencatan senjata 27 Februari yang sukar diraih kini ‘hampir-hampir mati’ dan boleh musnah ‘pada bila-bila masa’. – AFP