AS, Perancis tuduh Assad jejaskan rundingan damai

AS, Perancis tuduh Assad jejaskan rundingan damai

LONDON, 4 Feb – AS dan Perancis menuduh rejim Presiden Bashar al-Assad menjejaskan rundingan untuk menamatkan perang saudara Syria, yang ditangguhkan beberapa jam sebelum para penderma dijangka mengadakan pertemuan hari ini untuk mengutip bantuan bagi negara yang dicengkam konflik itu.

Menteri Luar Perancis Laurent Fabius menuduh Damsyik dan Rusia ‘memusnahkan usaha damai’ dengan melancarkan serangan berhampiran Aleppo dan berkata kuasa-kuasa dunia akan mengadakan ‘rundingan mendalam’ berhubung tindakan mereka pada persidangan itu.

PBB menangguhkan rundingan damai yang tidak membuahkan hasil itu semalam apabila kerajaan Syria berkata ia telah memutuskan laluan bekalan penting ke bandar kedua Syria dari sempadan Turki dengan bantuan serangan udara Rusia.

Ia adalah salah sebuah dari beberapa serangan rejim sejak Moscow mula melancarkan pengeboman pada September, dan Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov semalam berkata dia tidak melihat alasan untuk menghentikan sehingga ‘para pengganas; ditumpaskan.

Rundingan dijangkakan sebagai desakan paling penting setakat ini untuk menamatkan konflik berdarah Syria yang telah memasuki tahun kelima, yang telah mengorbankan lebih 260,000 dan memaksa separuh penduduk negara lari meninggalkan rumah mereka.

Tetapi rundingan itu terbantut sebelum sebarang kemajuan dibuat, dengan kumpulan penaung penentang utama mengatakan ia akan kembali ke Geneva sehingga rejim bersetuju untuk menamatkan pengeboman dan membenarkan bantuan memasuki bandar-bandar yang dikepung.

Utusan khas PBB Staffan de Mistura berkata rundingan akan disambung semula pada 22 Februari, dengan menegaskan ini ‘bukan pengakhiran atau kegagalan rundingan” dan menyeru semua pihak berperanan supaya bekerja lebih keras untuk menjadikan satu kejayaan.

Setiausaha Negara AS John Kerry berkata desakan kerajaan Syria untuk merampas wilayah ketika rundingan bermaksud untuk dijalankan membuktikan rejim tidak serius dengan rundingan. – AFP