AS perlu segera bantu Eropah – Miliband

AS perlu segera bantu Eropah – Miliband

WASHINGTON, 7 Sept (Reuters) – Amerika Syarikat menerima lebih tekanan semalam agar segera membantu Eropah mencari tempat perlindungan bagi kebanjiran penghijrah yang kehilangan tempat tinggal akibat peperangan dan kekacauan di negara mereka, tetapi Washington kelihatannya tidak menunjukkan kesungguhan bagi menyediakan perancangan dramatik menangani masalah tersebut.

David Miliband, ketua Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa dan bekas Setiausaha Luar British, menggesa Amerika Syarikat supaya menunjukkan “kepemimpinannya seperti ditunjukkan dalam isu-isu sebegini” sebelumnya.

“Amerika Syarikat sentiasa menjadi peneraju dalam usaha penempatan semula penghijrah sebelum ini dan usaha yang sama perlu ditunjukkan dalam menangani isu yang wujud sekarang,” kata Miliband dalam program “This Week with George Stephanopoulos,” yang diterbitkan oleh badan penyiaran ABC.

Jurucakap Jabatan Negara AS, John Kirby, dalam temu bual dengan Reuters pada lewat Sabtu, tidak menunjukkan sebarang petanda bahawa AS akan membenarkan lebih ramai penghijrah memasuki negara berkenaan.

Beliau sekadar menyebut mengenai sumbangan sejumlah AS$4 bilion bagi penyaluran bantuan kepada para penghijrah dan mengulangi pengesahan pendirian pentadbiran Obama mengenai keprihatinan keselamatan.

Para penghijrah berehat seketika sejurus tiba di pusat pengambilan di sebuah kampung di Roszke, Hungary, pada 6 September 2015. – Reuters
Para penghijrah berehat seketika sejurus tiba di pusat pengambilan di sebuah kampung di Roszke, Hungary, pada 6 September 2015. – Reuters

“Terdapat proses semakan yang signifikan di sini bagi para penghijrah dari Syria yang perlu kami ikuti,” katanya, sambil menambah bahawa pentadbiran Obama sudah pun berhubung dengan sekutu Eropahnya dan meneroka sebarang pilihan yang ada.

Pihak berkuasa AS mahu mencegah penyelinapan masuk anggota Negara Islam (IS) atau Al-Qaeda ke negara itu dengan penyamaran sebagai pelarian.

Sementara itu jurucakap Suruhanjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR) Melissa Fleming berkata Amerika Syarikat tidak meletakkan kuota mengenai jumlah penghijrah yang ia akan terima.

Beliau berkata UNHCR sudah mengemukakan senarai hampir 16,300 penghijrah bagi penempatan di AS dan akan terus mengemukakan banyak lagi kes bagi pertimbangan kerajaan pimpinan Obama.

ARTIKEL YANG SAMA