AS pertahan perjanjian nuklear Iran

AS pertahan perjanjian nuklear Iran

WASHINGTON, 8 Jun (AFP) – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Jacob Lew mempertahankan rundingan nuklear dengan Iran di tengah-tengah sorak bu dan ejekan ketika berucap di depan audiens yang kebanyakannya pro-Israel semalam.

Lew diganggu beberapa kali oleh audiens pada persidangan tahunan New York yang ditaja oleh akhbar The Jerusalem Post ketika beliau menggariskan pendirian pentadbiran mengenai rundingan nuklear.

“Suatu penyelesaian diplomatik adalah yang terbaik, laluan paling dapat bertahan untuk mencapai matlamat kita mengekang Iran daripada memperoleh senjata nuklear,” katanya.

“Tetapi kita juga sudah menjelaskan, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas yang sesuai untuk mencegah Iran daripada memperoleh senjata nuklear. Itu bukan hanya penting kepada keselamatan Israel tetapi juga keselamatan Amerika Syarikat.”

Beliau menolak laporan bahawa simpanan uranium Iran semakin meningkat sepanjang tempoh 18 bulan lepas sepanjang rundingan berlangsung, dan menegaskan bahawa perjanjian sementara berjaya mengekang program nuklear negara tersebut.

Iran “sudah menghentikan serta mengubah skala elemen penting program nuklearnya. Dan kita sudah meraih maklumat yang menyeluruh dan jelas ke atas aktiviti-aktiviti nuklear Iran,” kata Lew.

Akhbar New York Times melaporkan pada 1 Jun bahawa pemeriksa antarabangsa mendapati simpanan minyak nuklear Iran meningkat kira-kira 20 peratus sepanjang tempoh 18 bulan lepas.

Para perunding yang mewakili Amerika Syarikat mempunyai tempoh sehingga akhir bulan untuk mencapai perjanjian menyeluruh mengehadkan program nuklear Iran, yang Tehran tegaskan adalah untuk tujuan keamanan tetapi negara-negara barat bimbang ia bertujuan mendapatkan jika pun bukan bom, tetapi keupayaan untuk membuatnya.

ARTIKEL YANG SAMA