AS rancang ronda dekat pulau buatan China di Laut China Selatan

AS rancang ronda dekat pulau buatan China di Laut China Selatan

BEIJING, 14 Okt – Amerika Syarikat telah memberi taklimat kepada sekutu-sekutunya di Asia mengenai rancangan rondaan tentera laut berhampiran pulau buatan yang dibina China di Laut China Selatan.

Langkah itu boleh menyebabkan ketegangan dengan Beijing selepas lawatan baru-baru ini Presiden Xi Jinping ke Washington, pegawai Amerika dan Asia berkata pada Selasa (13 Oktober).

Rondaan “kebebasan pelayaran” itu, dalam kawasan 12 batu nautika dari sekurang-kurangnya salah satu pulau tersebut, bertujuan mencabar usaha China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan dengan membesarkan batu dan terumbu tenggelam menjadi tanah cukup besar untuk ditempatkan landasan pesawat tentera, kelengkapan radar dan penginapan askar, kata para pegawai.

Walaupun Beijing menuntut sebahagian besar Laut China Selatan sebagai wilayah berdaulatnya, zon 12 batu sekitar pulau-pulau terbaru sensitif terutamanya kerana undang-undang antarabangsa mengatakan pulau buatan itu tidak mempunyai hak kedaulatan sehingga had 12 batu.

Para pegawai di Filipina berkata mereka telah diberitahu mengenai rondaan yang dirancang beberapa hari lalu.

Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina menyatakan sokongannya pada keputusan Amerika untuk meronda kawasan terbabit.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Ashton Carter, dan Setiausaha Negara John Kerry dijadual membincangkan rondaan dengan rakan-rakan mereka dari Australia pada Isnin dan Rabu di Boston.

Pentadbiran Obama dan sekutu Washington di Asia telah membahaskan dengan panjang lebar mengenai cara terbaik bertindak balas pada langkah Beijing di Laut China Selatan.

Ada menyarankan diadakan rondaan untuk menghambat Beijing, manakala yang lain bimbang China mungkin menggunakan rondaan sebagai alasan untuk membangunkan lagi tenteranya.

China telah menyatakan ia akan respons jika kapal perang Amerika memasuki perairan 12 batu sekitar pulau-pulau buatannya. – BHM

ARTIKEL YANG SAMA