AS Roma rampas takhta, Old Lady tersungkur

AS Roma rampas takhta, Old Lady tersungkur

MILAN,30 Okt (Reuters) – Juventus berdepan satu lagi kekalahan apabila juara bertahan itu tumbang 0-1 di Sassuolo sambil AS Roma kembali merampas kedudukan selaku pendahulu Serie A hasil kemenangan 3-1 ke atas Udinese.

Ketinggalan dua mata di belakang Roma ialah Fiorentina yang menewaskan Verona 2-0 diikuti Napoli selepas mengalahkan Palermo 2-0. Inter Milan berkongsi mata dengan Fiorentina dan Napoli selepas menundukkan Bologna 1-0.

Rekod tiga perlawanan tanpa kalah Juve lebur hasil gol babak pertama yang dihasilkan Nicola Sansone.

Pelawat turun tanpa beberapa pemain utama ketinggalan pada minit ke-20 apabila Sansone menyempurnakan sepakan percuma.

Keadaan menjadi bertambah buruk buat Juve sebelum babak pertama tamat apabila Giorgio Chiellini menerima kad kuning kedua kerana mengasari Domenico Berardi.

Pemain hadapan Roma, Edin Dzeko (tengah) menyepak bola pada perlawanan Serie A, As Roma menentang Udinese di Stadium Olimpik di Rom. – AFP
Pemain hadapan Roma, Edin Dzeko (tengah) menyepak bola pada perlawanan Serie A, As Roma menentang Udinese di Stadium Olimpik di Rom. – AFP

Kekalahan mengakibatkan skuad yang dikenali sebagai ‘Old Lady’ itu terdampar di tangga ke-12 dengan 12 mata hasil 10 perlawanan manakala Sassuolo di kedudukan kelima selepas mengumpul 18 mata.

Roma membuka jaringan menentang Udinese selepas empat minit apabila Miralem Pjanic menerima hantaran lintang Maicon dan melepaskan rembatan dengan kaki kanan.

Maicon menggandakan pendahuluan lima minit kemudian selepas menerima hantaran Edin Dzeko dan berjaya menewaskan penjaga gol Orestis Karnezis.

Gervinho menambah gol ketiga pada minit ke-63 yang juga jaringan keenamnya dalam tujuh penampilan hasil hantaran lintang Kostas Manolas. Cyril Thereau merapatkan kedudukan buat Udinese pada lewat permainan.

Roma mengumpul 23 mata tetapi berdepan tugas sukar hujung minggu ini apabila bertemu Inter.

ARTIKEL YANG SAMA