AS, Rusia teruskan usaha genjatan senjata di Syria

AS, Rusia teruskan usaha genjatan senjata di Syria

GENEVA, 9 Sept – Setiausaha Negara AS John Kerry berlepas ke Geneva hari ini untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Rusia sekali lagi, dalam usaha meraih perjanjian dengan Moscow untuk mengembalikan gencatan senjata di Syria.

Para pegawai kanan yang pergi bersama Kerry berkata dia tidak akan membuat perjalanan itu untuk menyertai Menteri Luar Sergei Lavrov kecuali adanya peluang untuk mencipta kemajuan.

Tetapi mereka memberi amaran bahawa mereka tidak menjamin perjanjian muktamad akan dicapai dalam tempoh singkat sebelum kedua-dua mereka itu pulang ke tanah air lewat hari ini.

John Kerry (kiri), dan Sergey Lavrov semasa pertemuan di Geneva, Switzerland, kelmarin bagi membincangkan krisis di Syria. – AP
John Kerry (kiri), dan Sergey Lavrov semasa pertemuan di Geneva, Switzerland, kelmarin bagi membincangkan krisis di Syria. – AP

Washington mahukan langkah konkrit dari Rusia untuk memaksa sekutunya di Syria, Bashar al-Assad supaya menghentikan pengeboman ke atas rakyatnya sendiri dan mengundurkan pengepungan bandar Aleppo.

“Kita perlu melihat situasi yang jelas dalam apa saja yang dipersetujui dengan pihak Rusia bahawa tidak akan ada pengepungan di Aleppo,” seorang pegawai kanan AS memberitahu para pemberita. – AFP