AS sedia bantu Brunei

AS sedia bantu Brunei

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Amerika Syarikat (AS) terus komited dan terbuka untuk membantu Negara Brunei Darussalam dalam menangani pelbagai cabaran dan akan menghulurkan bantuan yang diperlukan dalam menangani masalah yang dihadapi.

Bantuan yang dihulurkan itu bukan sahaja bersifat bantuan teknikal tetapi juga bantuan kepakaran serta pembangunan sumber manusia, jelas Pemerintah Armada Pasifik AS, Laksamana Scott Swift dalam temu bual bersama Media Permata di Kedutaan Amerika Syarikat, di sini hari ini.

Beliau berkata bahawa Armada Pasifik itu boleh dianggap sebagai sebuah kota terapung atau kotak peralatan di mana ia mempunyai ramai pakar yang bukan sahaja terhad kepada bidang ketenteraan tetapi juga bidang pengurusan alam sekitar, kedoktoran, hubungan antarabangsa, kejuruteraan dan pelbagai lagi.

“Kami bersedia untuk membantu dalam apa saja yang diperlukan oleh rakan-rakan negara Pasifik dan kami berharap, peluang untuk bekerjasama dengan Brunei akan terus dipertingkatkan bukan sahaja dalam isu sekuriti maritim atau pertahanan tetapi dalam membantu menangani masalah-masalah lain yang dihadapi.”

Beliau berkata bahawa tidak dinafikan Negara Brunei Darussalam dan AS terus mempunyai hubungan persahabatan yang erat sejak dahulu lagi yang mana hubungan di antara kedua-dua buah negara yang sudah melebihi 170 tahun dan percaya bahawa kerjasama Brunei dan AS adalah amat penting dalam mempromosikan kestabilan di rantau Asia Tenggara di mana hubungan ketenteraan di antara Brunei dan AS terus teguh.

Laksamana Swift berkata Armada Pasifik sentiasa mengalu-alukan usaha untuk meningkatkan kerjasama dengan Negara Brunei Darussalam dan mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh dimanfaatkan bersama.
Laksamana Swift berkata Armada Pasifik sentiasa mengalu-alukan usaha untuk meningkatkan kerjasama dengan Negara Brunei Darussalam dan mempunyai pelbagai kepakaran yang boleh dimanfaatkan bersama.

Kerjasama dua hala di antara tentera kedua-dua buah negara terutama tentera lautnya terus dipertingkatkan melalui latihan bersama seperti latihan tahunan CARAT dan juga penyertaan Brunei dalam latihan US Pacific Command’s Rim of the Pacific (RIMPAC) yang merupakan latihan ketenteraan bersama di laut yang terbesar di dunia baru-baru ini, tambah Laksamana Swift.

Mengulas mengenai peranan penting yang dimainkan oleh Brunei dalam keamanan serantau, beliau berkata bahawa kedudukan dan hubungan baik Brunei di Asia Tenggara memberikannya pengaruh untuk membantu meningkatkan kerjasama serantau serta dalam usaha untuk meredakan ketegangan serantau.

Oleh itu, AS akan terus menyokong Brunei dalam usahanya untuk meningkatkan komunikasi dan koordinasi serantau khususnya melalui Kod Tata Kelakuan di Laut China Selatan serta menekankan perlunya untuk diplomasi dan ketelusan sebagai jalan penyelesaian yang baik dalam sebarang pertelingkahan.

Mengulas lanjut mengenai diplomasi sebagai jalan penyelesaian yang terbaik, beliau berkata bahawa menjadi pendirian AS untuk menggunakan kaedah diplomasi dan dialog sebagai kaedah terbaik dalam menangani sebarang pertelingkahan termasuk dalam perkara yang berhubung dengan Korea Utara.

Beliau berkata, AS amat menghargai persahabatan di antara dua rakan strategiknya iaitu Jepun dan Korea Selatan di mana isu berhubung dengan Korea Utara harus ditangani menerusi kaedah dialog, rundingan dan diplomasi.

Menjawab persoalan mengenai kepentingan sekuriti maritim di rantau Pasifik, beliau berkata, negara-negara Pasifik termasuk AS dan Brunei amat mengambil berat mengenai dengan isu sekuriti maritim berkenaan, kerana ia bukan sahaja melibatkan sekuriti dari segi keselamatan pelaut sahaja tetapi juga kepentingan negara-negara di rantau berkenaan.

Beliau memberi contoh seperti penangkapan ikan secara haram di mana ia bukan sahaja menyebabkan kerugian yang tinggi kepada kerajaan sebuah negara itu dari segi hasil pendapatan tetapi juga kerosakan kepada alam sekitar dari segi jumlah ikan dan pengurusan ikan yang mapan, ia juga menjejaskan hasil pendapatan dan tangkapan bagi nelayan-nelayan di negara berkenaan.

Oleh itu, sekuriti maritim memainkan peranan yang utama dan Armada Pasifik, jelasnya lagi, sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan rakan-rakan dialog dan negara-negara sahabat untuk memastikan kedaulatan, undang-undang dan keselamatan perairan rantau berkenaan sentiasa dijaga.

Mengulas mengenai pertemuan dan perbincangan yang diadakan semasa lawatannya ke Brunei, Laksamana Swift berkata walaupun lawatannya ke Brunei merupakan lawatan yang pendek tetapi semasa lawatan itu, beliau mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam pelbagai isu dengan pihak-pihak yang berkenaan termasuk bidang-bidang kerjasama yang boleh diterokai bersama yang bukan hanya terhad kepada kerjasama sekuriti maritim sahaja.

“Saya berharap untuk mendengar cadangan dan ulasan mengenai kaedah dan peluang bagi meningkatkan kerjasama di antara kedua-dua buah negara serta juga permasalahan yang boleh di tangani di mana saya bersedia untuk menghulurkan bantuan dari segi kepakaran atau latihan dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan itu.”