AS ‘sedia bertindak’ di Syria

NEW YORK, 13 Mac – Amerika Syarikat (AS) semalam memberi amaran bahawa ia bersedia untuk bertindak di Syria sekiranya diperlukan untuk menghentikan serangan kimia dan ‘penderitaan yang tidak berperikemanusiaan” tatkala ia mendesak bagi gencatan senjata selama 30 hari yang terbaharu di Timur Ghouta.

Duta AS Nikki Haley memberitahu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bahawa gencatan senjata yang diluluskan dua minggu lalu ‘telah gagal’ dan telah mengedarkan draf resolusi baharu yang menyeru bagi gencatan senjata di enklaf pemberontak dan Damsyik.

Katanya, “tidak ada gencatan senjata. Rejim Assad, Iran dan Rusia meneruskan peperangan menentang pembangkang politik mereka.”

Duta AS mengingatkan semula bahawa Presiden Donald Trump telah mengarahkan serangan peluru berpandu di sebuah pangkalan udara Syria pada April tahun lalu sebagai tindak balas terhadap satu serangan gas sarin yang dipersalahkan ke atas tentera Presiden Bashar al-Assad.

“Kami turut memberi amaran kepada mana-mana negara yang bertekad untuk mengenakan serangan kimia dan penderitaan yang tidak berperikemanusiaan, terutama sekali rejim Syria, AS akan tetap bersedia sekiranya perlu.”

“Ia bukanlah jalan yang kita sukai tetapi ia adalah jalan yang ditunjukkan untuk diambil dan kami bersedia untuknya.”

“Apabila masyarakat antarabangsa secara konsisten gagal untuk bertindak, ada kalanya keadaan memaksa untuk membuat tindakan mereka sendiri,” kata Haley.

Draf AS yang diperoleh AFP akan memutuskan penghentian permusuhan selama 30 hari di seluruh Timur Ghouta dan Bandar Damsyik untuk dimulakan sekiranya diguna pakai.

Draf resolusi itu akan membolehkan ‘akses yang selamat, tidak terkawal dan kekal’ bagi konvoi bantuan kemanusiaan dan ‘pemindahan perubatan tanpa syarat dan selamat di Timur Ghouta.’ – AFP