AS sedia perluas serangan di Afghanistan

AS sedia perluas serangan di Afghanistan

WASHINGTON, 10 Jun – Amerika Syarikat (AS) semakin hampir membuat keputusan meluaskan pengaruh tentera bagi melancarkan serangan udara ke atas Taliban ketika keganasan semakin memuncak di Afghanistan, kata pegawai pertahanan kanan negara itu.

Pegawai berkenaan berkata, keputusan akhir belum dibuat tetapi perbincangan sudah di peringkat akhir.

Ada keinginan dalam seluruh pentadbiran Presiden Barack Obama untuk memberikan lebih kuasa kepada tentera dalam membantu tentera Afghanistan berperang dan menang dalam peperangan.

Beliau berkata, Amerika berkemungkinan meluaskan pengaruh komander negara itu untuk menyerang Taliban dan melakukan apa sahaja yang penting dengan kuasa yang ada untuk menyokong operasi Afghanistan.

Helikopter CH-47 Chinook menurunkan askar AS di Kandahar dalam satu gambar fail pada 8 Ogos 2004. AS akan melancarkan serangan udara di Afghanistan ketika serangan puak Taliban semakin meningkat di negara itu. – AP
Helikopter CH-47 Chinook menurunkan askar AS di Kandahar dalam satu gambar fail pada 8 Ogos 2004. AS akan melancarkan serangan udara di Afghanistan ketika serangan puak Taliban semakin meningkat di negara itu. – AP

Masih ada 9,800 tentera Amerika di Afghanistan tetapi tidak terbabit dalam peperangan secara langsung.

Keputusan yang sudah dijangka itu dibuat ketika Afghanistan bergelut dengan pemberontakan Taliban, terutama di selatan.

Namun ia penuh dengan sensitiviti politik kerana Obama menunjukkan dengan jelas komitmennya untuk mengeluarkan tentera Amerika dari Afghanistan.

Taliban menumpukan semula perhatian mereka di selatan wilayah Helmand, Kandahar dan Uruzgan, menurut pegawai tentera Amerika dan Afghanistan. – AP

ARTIKEL YANG SAMA