AS sedia sekatan baru ke atas program balistik Iran

AS sedia sekatan baru ke atas program balistik Iran

WASHINGTON, 31 Dis (Reuters) – Pentadbiran Presiden AS Barrack Obama sedang menyedia sekatan baru ke atas syarikat antarabangsa dan individu berhubung program peluru berpandu balistik Iran, kata sumber yang biasa dengan situasi tersebut semalam.

The Wall Street Journal melaporkan sebelumnya bahawa sekatan berpotensi itu akan menyasarkan kira-kira 12 syarikat dan individu di Iran, Hong Kong dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas peranan mereka dalam menghasilkan program peluru berpandu balistik Iran.

Pegawai AS telah berkata Jabatan Perbendaharaan mengekal hak di bawah perjanjian nuklear bersejarah pada Julai di antara Iran dan enam kuasa dunia, termasuk Washington, untuk menyenaraikan hitam entiti Iran yang disyaki terlibat dalam penghasilan peluru berpandu, menurut Jurnal itu.

Pegawai Iran berkata pemimpin tertinggi negara akan menganggap penalti sedemikian sebagai mencabul perjanjian nuklear.

“Kami telah melihat pada opsyen untuk mengambil tindakan tambahan berhubung dengan program peluru berpandu balistik Iran berdasarkan kebimbangan kami mengenai aktivitinya, termasuk pelancaran pada 10 Oktober,” kata pegawai pentadbiran Obama.

“Kami sedang menimbang pelbagai aspek berkaitan dengan pelantikan tambahan, serta kerja diplomatik yang konsisten dengan kepentingan keselamatan negara kami,” kata pegawai, dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Sekumpulan pengawas sekatan PBB berkata dalam satu laporan sulit yang dilihat oleh Reuters pada 15 Disember bahawa roket jarak sederhana Emad yang diuji oleh Iran pada 10 Oktober merupakan peluru berpandu balistik yang berupaya membawa kepala peluru, menjadikannya satu pencabulan resolusi Majlis Keselamatan PBB.

Diplomat berkata jawatankuasa sekatan mungkin menyenaraikan hitam individu atau entiti tambahan Iran mengenai pelancaran peluru berpandu. Namun mereka berkata Rusia dan China, yang telah menentang sekatan ke atas program peluru berpandu Iran, mungkin menyekat mana-mana tindakan sedemikian.