AS serang kubu kuat IS di Syria

AS serang kubu kuat IS di Syria

BEIRUT, 5 Julai (AFP) – Enam orang awam termasuk seorang bayi adalah antara sekurang-kurangnya 22 yang terbunuh dalam serangan udara terbaru Amerika Syarikat (AS) yang ditujukan kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) sejak semalam dan hari ini.

Majoriti yang terbunuh dalam serangan terhadap bandar Raqa adalah pejuang IS, kata kumpulan pemerhati hak asasi manusia di Syria. Berpuluh-puluh orang awam turut cedera dalam serangan itu.

AS yang menerajui tentera bersekutu dan mula membuat serangan udara terhadap IS sejak September lalu, berkata ia telah membuat serangan besar-besaran terhadap Raqa, ibu negara bagi IS di Syria.

Serangan udara besar-besaran ini bagi mematahkan cubaan IS untuk menggerakkan tentera dari seluruh Syria ke Iraq, kata jurucakap tentera AS, Leftenan Kolonel Thomas Gilleran.

“Ini adalah antara serangan terbesar yang kami lakukan terhadap Syria dan ia kami sasarkan memberi kesan kepada keupayaan IS untuk bergerak dari Raqa.

“Tentera sekutu memusnahkan beberapa sasaran di seluruh Raqa, dengan memusnahkan struktur IS dan laluan transit mereka,” kata Gilleran dalam satu kenyataan.

Kumpulan IS muncul di Syria pada 2013 dan kini menguasai hampir separuh wilayah negara itu, walaupun majoriti kawasan dikuasainya adalah gurun tidak berpenghuni.

ARTIKEL YANG SAMA