AS sokong usaha Gabungan Global perangi Daesh

BANDAR KUWAIT, 13 Feb – Ame-rika Syarikat (AS) berjanji memberi dana sebanyak AS$200 juta untuk membantu usaha Gabungan Global memerangi kumpulan militan Daesh serta menghalang mereka kembali semula ke Syria dan Iraq.

Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson, berkata Daesh akan sentiasa menjadi ancaman dan gangguan kepada seluruh dunia.

“Dunia perlu teruskan usaha memerangi Daesh bagi memastikan kumpulan itu tidak muncul kembali di Syria dan Iraq, walaupun rantau itu telah diisytiharkan bebas sepenuhnya daripada penguasaan mereka.

“Dana ini sangat diperlukan untuk memastikan Daesh tidak kembali semula ke Iraq dan Syria,” katanya ketika berucap di pembukaan Mesyuarat Peringkat Menteri Gabungan Global Menentang ISIS/Daesh di Istana Bayan di sini hari ini.

Mesyuarat itu diadakan sempena Persidangan Antarabangsa Kuwait Untuk Pembangunan Semula Iraq (KICRI) yang berlangsung tiga hari mulai Isnin.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat semasa menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri Gabungan Global Menentang ISIS/Daesh di Istana Bayan, Bandar Kuwait, berjanji memberi dana sebanyak AS$200 juta untuk membantu usaha Gabungan Global memerangi kumpulan militan Daesh. – AFP

Mengulas lanjut, Tillerson berkata gabungan antarabangsa itu berjaya membebaskan 98 peratus wilayah Iraq daripada penguasaan Daesh dan mengembalikan semula tempat perlindungan rakyat di negara tersebut.

“Keamanan berterusan amat perlu dititikberatkan bagi membolehkan masyarakat Iraq dan Syria kembali kepada kehidupan asal dan kita perlu membantu kedua-dua negara dalam pembangunan semula setelah dimusnahkan oleh Daesh seperti pembinaan hospital, saluran air, elektrik dan sekolah,” katanya.

Beliau berkata Gabungan Global perlu terus berusaha bagi memastikan Daesh tidak akan kembali ke Iraq dan Syria.

“AS sangat menghargai sumbangan oleh negara anggota Gabungan Global sejak beberapa tahun kebelakangan ini dalam memainkan peranan penting bagi memerangi Daesh namun dana yang besar sangat diperlukan bagi memastikan keamanan berterusan,” katanya.

Katanya, AS akan terus menjadi penyumbang terbesar dalam memberikan bantuan kemanusiaan di Syria dan bekerjasama dengan Gabungan Global serta rakan kongsi tempatan bagi bantuan ketenteraan di negara itu. – Bernama