AS sumbang 114 kereta perisai untuk Filipina

AS sumbang 114 kereta perisai untuk Filipina

MANILA, 10 Dis – Filipina menerima sejumlah 114 kenderaan berperisai yang disumbangkan oleh Amerika Syarikat, menurut para pegawai hari ini, sekali gus memantapkan lagi usaha tentera Negara itu memerangi beberapa kumpulan pemberontak di negara tersebut.

Washington menyediakan sekutunya Manila dengan sokongan ketenteraan pada masa lepas, termasuk sebuah kapal perang yang ditawarkan bulan lepas sebahagian pakej bantuan bernilai AS$250 juta kepada negara-negara Asia Tenggara.

Tujuh puluh tujuh kenderaan berperisai M113A2 (APCs) tiba lewat semalam dan bakinya akan tiba bulan depan, menurut Kedutaan AS di Filipina dalam satu kenyataan.

Sumbangan tersebut meningkatkan satu pertiga inventori kereta perisai tentera Filipina kepada 455 buah, kata Kolonel Benjamin Hao.

Tentera Filipina masih lagi perlu memasang peralatan persenjataan dan komunikasi ke atas kenderaan tersebut, tetapi Hao berkata ia akan segera dikerahkan untuk operasi tidak lama lagi.

“Pasukan tentera kami kini lebih mantap dan lebih bermobiliti untuk melaksanakan tugasan yang lebih mencabar sekali gus memerangi segala bentuk pemberontakan,” beliau memberitahu AFP.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan di kawasan mana kenderaan terbabit akan dikerahkan, sekadar berkata “ia akan dikerahkan ke mana-mana kawasan yang memerlukan kereta perisai.”

Kenderaan berkenaan ditawarkan sebagai sebahagian program ketenteraan AS dengan menyumbang kepada pihak tertentu peralatan lebihan, tetapi Filipina membayar sejumlah 67.5 juta peso (AS$1.4 juta) bagi menampung kos pengangkutan, kata pegawai-pegawai. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA