AS tunjuk kekuatan kepada Korea U

AS tunjuk kekuatan kepada Korea U

PANGKALAN TENTERA UDARA OSAN, Korea Selatan, 10 Jan (AFP) – Amerika Syarikat (AS) menghantar pesawat pengebom berat ke Korea Selatan hari ini sebagai menunjukkan kekuatan ketika pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un menegaskan ujian terbaru nuklear negara itu dijalankan dalam mempertahankan diri.

Ujian Rabu lalu apa yang didakwa oleh Korea Utara adalah bom hidrogen pertama telah mencetuskan kebimbangan antarabangsa dan meningkatkan ketegangan di sepanjang sempadan antara Korea, dengan Seoul menghidupkan kembali siaran propaganda seberang sempadan.

Lintas terbang hari ini menyaksikan pesawat B52 Stratofortress, yang mampu melancarkan senjata nuklear, menderu di Pangkalan Tentera Udara Osan, kira-kira 70 kilometer selatan sempadan antara Korea, menurut tentera AS dan seorang saksi yang melihatnya.

Ia diiringi oleh sebuah jet Korea Selatan dan sebuah jet Amerika.

B52 melakukan penerbangan rendah sebelum kembali ke Pangkalan Tentera Udara Andersen di Guam, yang mana di situ ia akan ditempatkan.

Leftenan AS, Jeneral Terrence J. O’Shaughnessy, bercakap di hadapan jet pejuang AS F-16 semasa taklimat penerbangan pesawat pengebom B52. – AFP
Leftenan AS, Jeneral Terrence J. O’Shaughnessy, bercakap di hadapan jet pejuang AS F-16 semasa taklimat penerbangan pesawat pengebom B52. – AFP

Misi itu dijalankan ‘dalam respons terhadap tindakan provokatif Korea Utara” Pasukan AS Korea berkata dalam satu kenyataan.

Pesawat udara itu diketahui telah terlibat dalam latihan bersama tahunan ketenteraan AS-Korea Selatan yang telah mengundang kemarahan Pyongyang, tetapi penerbangannya di Korea Selatan jarang sekali dipublisitikan.

Kali terakhir penerbangan seumpama itu didedahkan adalah pada tahun 2013, selepas Korea Utara melancarkan ujian nuklear ketiganya.

Pada ketika itu AS telah menghantar B52 dan pengebom senyap lebih sofistikated B2 ke Korea Selatan dalam menunjukkan kekuatan tentera terhadap Korea Utara.

Ujian nuklear pada Rabu lalu adalah ujian keempat Pyongyang, meskipun pakar-pakar mempersoalkan dakwaan Korea Utara bahawa letupan itu adalah dari bom hidrogen.

Jumaat lalu, penyiar kerajaan Korea Utara juga mengeluarkan rakaman video yang memaparkan ujian peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam, meskipun media Korea Selatan mengatakan rakaman itu adalah kompilasi ujian sebelumnya yang telah disunting.

Leftenan Jeneral Terrence J O’Shaunghnessy, pemerintah Pasukan Tentera Udara Ke 7 ASA dan Timbalan Pemerintah Pasukan AS Korea berkata hari ini bahawa AS mengekalkan komitmen ‘berperisai’ bagi mempertahankan Korea Selatan.

Komitmen ini termasuk ‘pencegahan berpanjangan yang disediakan oleh pasukan konvensional dan payung nuklear kami,” katanya dalam satu kenyataan.

“Misi B52 memperkukuhkan komitmen AS untuk memberi keselamatan kepada rakan dan sekutu kami, dan menunjukkan salah satu daripada kebolehan perikatan yang ada untuk mempertahankan” Korea Selatan, katanya.