AS umum skim tambahan untuk Nepal

AS umum skim tambahan untuk Nepal

KATHMANDU, 29 Okt (Bernama) – Amerika Syarikat semalam mengumumkan tiga skim tambahan untuk menyokong usaha pembangunan semula Nepal selepas dilanda gempa bumi.

Kerajaan AS, menerusi Agensi AS untuk Pembangunan Antarabangsa (USAID), akan menyokong model pembangunan semula perumahan Nepal terutamanya untuk mereka yang kehilangan rumah dan tempat perlindungan ketika gempa bumi pada 25 April, kata Kedutaan AS di Kathmandu dalam satu kenyataan.

“Berdasarkan pelaburan sebelumnya, program USAID akan melatih kira-kira 13,500 profesional pembinaan dan mendidik lebih daripada 285,000 pemilik rumah yang terjejas mengenai pembinaan rumah yang tahan gempa bumi dalam tempoh lima tahun akan datang,” kata kenyataan.

USAID akan melancarkan program Baliyo Ghar lima tahun dengan pelaburan berjumlah AS$8 juta, katanya.

Di bawah projek itu, tukang batu tempatan Nepal, tukang kayu, jurutera dan pemilik rumah yang terjejas akan dilatih untuk dilengkapi dengan kemahiran untuk membina rumah yang tahan gempa bumi.

USAID juga akan menyokong penubuhan Pusat Teknologi Pembinaan Semula Nasional dan tiga pusat latihan lain di kawasan yang musnah akibat gempa.

Baliyo Ghar akan dilaksanakan oleh Persatuan Teknologi Gempa bumi Nasional (NSET) dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Bandar, Kementerian Hal Ehwal Persekutuan dan Majlis Pembangunan Tempatan untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional, dan Suruhanjaya Perancangan Negara.

ARTIKEL YANG SAMA