AS-Venezuela di ambang pemulihan?

AS-Venezuela di ambang pemulihan?

WASHINGTON, 16 Jun (AFP) – Amerika Syarikat dan Venezuela, yang saling bermusuhan sejak lebih sedekad, mengadakan rundingan diplomatik “positif” pada hujung minggu lepas di Haiti, menurut Jabatan Negara semalam.

Speaker Perhimpunan Kebangsaan Diosdado Cabello, yang dianggap orang paling kuat kedua Venezuela, dan Kaunselor Jabatan Negara AS, Thomas Shannon mengadakan pertemuan itu pada sabtu lepas di Port-au-Prince.

“Rundingan tersebut menyentuh semua elemen hubungan dua hala kami. Ia adalah positif dan produktif,” kata jurucakap Jabatan Negara Jeffrey Rathke.

Cabello sendiri selepas rundingan itu berkata bahawa ia merupakan “langkah penting ke arah pemulihan hubungan di antara kedua-dua negara.”

Ketegangan terutamanya tinggi di antara Amerika Syarikat dan Venezuela sejak Presiden Barack Obama mengenakan sekatan pada Mac ke atas tujuh pegawai Venezuela yang dikaitkan dengan pelanggaran hak asasi manusia.

Bulan lepas, Wall Street Journal melaporkan bahawa Cabello adalah salah seorang daripada pegawai kanan Venezuela yang sedang disiasat oleh para pendakwa raya AS berhubung dakwaan pembabitannya dalam penyeludupan kokain dalam skala yang besar.

Maduro memberikan respons bahawa “sesiapa yang membuat hal dengan Diosdado juga membuat hal dengan saya.” Amerika Syarikat cuba untuk mencapai kemajuan dalam pemulihan hubungannya dengan Cuba, sekutu paling rapat Venezuela di rantau berkenaan. Cuba adalah satu-satunya negara yang diperintah komunis di Amerika Latin dan Caribbean.

Obama dan Presiden Cuba Raul Castro bersetuju pada Disember untuk memulihkan sepenuhnya hubungan diplomatik, dan kedua-dua pemimpin mengadakan rundingan awal pada sesi berasingan di kemuncak Panama pada April lepas.