AS$4.6b rangsang pasaran saham

AS$4.6b rangsang pasaran saham

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama/Reuters) – Kerajaan Malaysia akan menyuntik 20 bilion ringgit (AS$4.6 bilion) dalam firma pelaburan ekuiti negara untuk merangsang pasaran saham, kata Perdana Menteri Najib Razak hari ini, dalam usaha untuk mengukuhkan keyakinan dalam sebuah negara yang dilanda skandal politik.

Najib memberitahu satu persidangan akhbar hari ini bahawa firma pelaburan ekuiti, ValueCap, akan melabur dalam syarikat-syarikat kecil di Malaysia.

“ValueCap telah memberi pulangan yang tinggi kepada pemegang sahamnya seperti Permodalan Nasional Bhd, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan dan Khazanah Nasional Bhd,” kata Najib.

Beliau berkata PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) boleh memohon untuk menstrukturkan dan menjadualkan semula pinjaman perniagaan daripada institusi pembiaya atau melalui skim penyelesaian pinjaman kecil di Bank Negara Malaysia sekiranya perlu.

“Dengan itu, kerajaan akan mengaktifkan semula ValueCap dengan dana berjumlah 20 bilion ringgit,” beritahunya kepada wartawan di pejabat Perdana Menteri.

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak ketika menyampaikan ucapannya semasa sidang media di pejabatnya di Putrajaya pada 14 September. – AFP
Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak ketika menyampaikan ucapannya semasa sidang media di pejabatnya di Putrajaya pada 14 September. – AFP

“ValueCap ditubuhkan pada 2002 sebagai satu entiti untuk menyokong saham yang dinilai kurang dan keputusan tersebut adalah efektif memandangkan ia berjaya menstabilkan pasaran saham,” tambah beliau.

Najib berkata bagi merancakkan pelaburan domestik dan asing Malaysia, dana pelaburan strategik domestik (DISF) akan diteruskan dengan peruntukan tambahan sebanyak RM1 bilion dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11.

Dana ini bertujuan untuk mempercepat peralihan syarikat domestik kepada industri bernilai tambah tinggi, berteknologi tinggi, berintensifkan pengetahuan dan berasaskan inovasi, katanya.

Beliau juga mengumumkan bahawa sektor kilang akan dikecualikan daripada duti import sehingga ekonomi berpulih daripada kemelesetan, tetapi tidak menyatakan sektor yang mana satu yang akan terjejas.

Kemerosotan ringgit mencerminkan kemerosotan dalam kedudukan perdagangan Malaysia disebabkan kejatuhan harga untuk gas asli cair dan eksport komoditinya.

Namun aliran keluar modal bertambah pesat pada Julai tatkala Najib dibelenggu dalam skandal politik yang membabitkan dana kerajaan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Prospek sokongan kerajaan untuk pasaran saham membantunya menambah indeks saham apabila ia mencecah 0.56 peratus lebih tinggi pada 1,612.52 mata pada tengah hari. Ringgit tidak berubah.

Ketenatan penurunan nilai ringgit mendorong Najib menubuhkan pasukan petugas ekonomi, termasuk beberapa ahli kewangan terkenal negara, untuk mencari jalan bagi memulihkan keyakinan.

“Kemerosotan ringgit tidak dijangka memberi kesan negatif kepada hutang kerajaan memandangkan 97 peratus daripada hutang adalah dalam ringgit dan kebanyakannya dibiayai oleh sumber tempatan,” kata Najib.

Kegagalan perdana menteri untuk memberi penjelasan bagaimana 1MDB mengumpul hutang sebanyak AS$11 bilion, atau siapa yang menyimpan lebih AS$600 juta dalam akaun bank di bawah namanya, atau kenapa telah membawa kepada kebimbangan orang awam berhubung kepimpinan beliau.

Perdana menteri bagaimanapun telah menafikan melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata hari ini pelan rasionalisasi untuk 1MDB sedang berjalan lancar. Beliau juga menekankan tidak adanya rancangan untuk memperkenalkan kawalan modal, menambah kerajaan dijangka mencapai sasaran penggabungan fiskal untuk tahun 2015.