AS$5 bilion untuk bantu rakyat Syria

AS$5 bilion untuk bantu rakyat Syria

LONDON, 5 Feb – Negara penyumbang berikrar memberi sejumlah AS$5 bilion ($6.98 bilion) hari ini sebagai bantuan kepada rakyat Syria ketika pemimpin dunia berkumpul dalam satu persidangan menangani krisis kemanusiaan terburuk dunia.

Pada masa sama, Turki melaporkan pemindahan beramai-ramai puluhan ribu pelarian Syria daripada serangan udara ke negaranya.

Dengan perang saudara di Syria kini masuk tahun kelima dan cubaan lain menggagalkan rundingan damai di Geneva selepas beberapa hari bersidang, mesyuarat di sini menyasarkan menangani keperluan kira-kira enam juta penduduk yang kehilangan tempat tinggal dalam negara itu dan lebih empat juta menjadi pelarian di negara lain.

Menggariskan situasi terdesak di Syria, Perdana Menteri Turki Ahmet Davutoglu memberitahu persidangan itu, puluhan ribu warga Syria kini sedang bergerak ke negaranya untuk melarikan diri daripada serangan udara di Aleppo.

“Seramai 60,000 hingga 70,000 rakyat dalam kem di utara Aleppo bergerak ke arah Turki. Fikiran saya kini bukan di London, namun di sempadan kami, bagaimana memindahkan penduduk baru datang dari Syria?

Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu ketika berucap pada persidangan tersebut. – Reuters
Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu ketika berucap pada persidangan tersebut. – Reuters

“Sebanyak 300,000 penduduk yang tinggal di Aleppo sudah bersedia bergerak ke arah Turki,” katanya.

Turki kini menerima lebih 2.5 juta pelarian Syria. Jordan dan Lubnan adalah negara lain yang menanggung beban perpindahan beramai-ramai penduduk Syria.

Beberapa jurucakap berkata, ketika situasi pelarian adalah teruk, warga Syria yang terperangkap dalam negara itu terpaksa menahan serangan bom, kepungan dan di sesetengah tempat, menanggung kebuluran.

“Dengan penduduk terpaksa makan rumput dan daun serta membunuh haiwan terbiar untuk terus hidup dari sehari ke sehari, ia adalah sesuatu yang seharusnya merobek hati semua penduduk bertamadun dan kita semua mempunyai tanggungjawab memberi maklum balas terhadapnya,” kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry dalam persidangan itu. – Reuters