AS$6.8 bilion lesap

AS$6.8 bilion lesap

ABUJA, 19 Jan – Seramai 55 orang termasuk menteri kerajaan, gabenor negeri, pegawai awam, pemilik bank dan ahli perniagaan melesapkan AS$6.8 bilion daripada tabung awam Nigeria dalam tempoh tujuh tahun, kata Kementerian Penerangan negara itu.

Wabak rasuah yang merebak dalam kalangan segelintir kumpulan elit itu menyebabkan ramai penduduk Nigeria hidup dalam kemiskinan walau pun negara itu adalah antara pengeluar minyak utama Afrika dengan ekonomi terbesar di benua itu.

Presiden Muhammadu Buhari, 73, bekas pemimpin tentera yang mengambil alih kuasa Mei lalu selepas menang pilihan raya berikrar untuk membasmi rasuah.

Sejak itu, bekas penasihat keselamatan negara dan bekas menteri pertahanan didakwa atas tuduhan rasuah dan presiden turut mengarahkan siasatan ke atas bekas ketua tentera atas tuduhan penipuan pembelian senjata.

Menteri Penerangan, Lai Mohammed, berkata ketika melancarkan kempen kesedaran rasuah di Abuja, dianggarkan AS$6.8 bilion dicuri antara 2006 hingga 2013.

Ia termasuk kecurian wang mencecah AS$742.42 juta oleh 15 bekas gabenor negeri, AS$2.65 bilion oleh pengusaha bank dan AS$35.35 juta yang dicuri oleh empat bekas menteri.

“Kalau kita tidak menghapuskan rasuah, rasuah akan membunuh Nigeria,” kata Mohammed yang tidak menyertakan sebarang bukti bagi menyokong angka yang dinyatakan.

Buhari berkata, kerajaannya akan mendapatkan semula jumlah wang yang dicuri daripada sektor minyak dan tabung awamnya hampir kosong sebaik mengambil alih pimpinan daripada pemimpin terdahulu, Goodluck Jonathan. – Reuters