AS$600,000 bantu pelarian Syria

AS$600,000 bantu pelarian Syria

PUTRAJAYA, 2 Feb – Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) dan Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia menyumbang AS$600,000 (AS$1 = RM4.2025/2095) bagi membantu pelarian kanak-kanak dan wanita Syria di sempadan Lubnan dan Jordan.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, selaku Yang Dipertua BAKTI dan penaung tabung itu, menyerahkan sumbangan tersebut kepada Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Othman Hashim di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di sini.

Menurut Rosmah, sumbangan itu bertujuan membantu meringankan kesengsaraan dan kesulitan hidup yang dialami pelarian terutamanya dalam menghadapi cuaca sejuk.

“Saya selaku penaung Tabung Kesejahteraan Kanak-Kanak Sedunia dan seluruh ahli jawatankuasa akaun amanah tabung ini begitu berbesar hari untuk menyumbang sejumlah AS$500,000 bagi tujuan kebajikan kanak-kanak dan kaum wanita pelarian ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak AS$300,000 akan diperuntukkan kepada pelarian di sempadan Lubnan manakala AS$200,000 kepada pelarian di sempadan Jordan,” katanya.

Rosmah berkata BAKTI pula menyumbang sebanyak AS$100,000 bagi tujuan sama dengan AS$60,000 daripada jumlah itu kepada pelarian di sempadan Lubnan dan selebihnya kepada pelarian di Jordan.

Katanya segala sumbangan itu akan disalurkan terus melalui Pejabat Kedutaan Malaysia di Lubnan dan Jordan.

“Pihak kedutaan akan membeli keperluan musim sejuk seperti selimut, jaket tebal, pakaian asas dan susu formula kepada sejumlah 20,000 kanak-kanak dan kaum wanita di sempadan Lubnan dan Jordan,” katanya.

Memetik statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), sehingga kini, jumlah pelarian Syria sejak perang saudara tercetus pada 2011 telah meningkat kepada 4.59 juta, dan daripada jumlah itu, 1.85 juta merupakan kanak-kanak.

“Saya dimaklumkan bahawa terdapat 1.4 juta pelarian Syria yang kini berada di kem pelarian di Jordan manakala terdapat lebih daripada satu juta pelarian Syria di Lubnan.

“Daripada kedua-dua jumlah itu, didapati hampir 300,000 daripadanya adalah kanak-kanak,” katanya. – Bernama