Asah bakat pemain muda

Asah bakat pemain muda

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Khairil Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Kejohanan Boling Padang yang berlangsung bagi peringkat Asia hari ini merupakan promosi terbaik dalam membuat penilaian yang sewajarnya dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua yang terlibat untuk membangunkan sukan bagi negara masing-masing.

“Saya suka untuk melihat senyuman dan campuran pencapaian oleh banyak negara yang terlibat menampakkan cabaran dalam sukan ini semakin berubah corak kepada yang lebih bersaingan” ujar Ketua Eksekutif Persatuan Boling Padang Dunia, Garry Smith ketika beliau menghadiri majlis penutupan Kejohanan Boling Padang Asia ke-11 Tahun 2015 dan Kejohanan Single Bawah 25 tahun Asia ke-9 Tahun 2016 di Kompleks Boling Padang Kompleks Sukan Negara Hasaanal Bolkiah di Berakas.

Dalam temu bual bersama media, beliau menegaskan apa yang penting adalah pemangkin kepada perkembangan sukan ini dan penglibatan daripada peringkat muda dalam sukan ini bukan suatu yang mudah.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan syabas kepada semua yang terlibat katanya.

Garry Smith ketika menyarungkan pingat kepada salah seorang pemenang dalam kejohanan Boling Padang Asia.
Garry Smith ketika menyarungkan pingat kepada salah seorang pemenang dalam kejohanan Boling Padang Asia.

Mengulas mengenai cabaran besar sukan boling padang, beliau menegaskan sukan ini dianggap sebagai sukan yang khusus kepada orang yang berusia sahaja dan kini trend itu semakin berubah kerana kebanyakan negara telah mula memperkenalkan pemain-pemain muda untuk bersaing dalam kejohanan serantau atau antarabangsa.

Mengulas mengenai persembahan Brunei dalam kejohanan kali ini, padanya Brunei Darussalam mempamerkan prestasi yang baik sehingga melayakkan diri untuk ke piala dunia di New Zealand akhir tahun ini.

“Melihat kepada kejohanan hari ini Malaysia menjadi garis penunjuk yang sering mendominasi sukan ini, namun dalam kejohanan kali ini juga kita melihat Malaysia tidak mampu mempertahankan kebanyakan disiplinnya kerana pasukan lain mula melihat serius akan perkembangan dan persiapan yang lebih terperinci” tegasnya.

Menurutnya pasukan junior adalah perlu diasah bagi meneruskan tradisi dan sewajarnya dipupuk daripada peringkat awal lagi, ujarnya sebelum menegaskan kejohanan dunia pada hujung tahun ini akan menampilkan 20 buah negara untuk bersaing mendapatkan kejuaraan termasuk negara ini sebagai salah satu pasukan yang telah layak bersaing.

“World Bowl sangat mementingkan akan perkembangan sukan boling padang melalui penstrukturan semula persatuan mengikut rantau masing-masing dan ia membuka peluang kepada semua pihak untuk pembangunan itu” katanya.

Selain daripada itu, menurutnya lagi World Bowl juga komited menyediakan platform kejurulatihan, sokongan, latihan teknikal dan taktikal yang boleh membantu semua negara yang turut serta dalam sukan ini, tegasnya mengakhiri perbualan.

ARTIKEL YANG SAMA