Asah bakat tilawah Al-Quran

Asah bakat tilawah Al-Quran

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – Bagi memeriahkan lagi Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) Kelima, Pusat Ilmu Teras telah merancang dua pertandingan iaitu Musabaqah Tilawah Al-Quran dan Tafsiran bagi staf KUPU SB dan Peraduan Membaca Teks Kitab Turath dan Huraian bagi Pelajar KUPU SB, semalam.

Pertandingan bertemakan ‘Tadabbur Al-Quran Menjana Ketaqwaan dan memartabatkan Pengajian Kitab Turath’ di Dewan Tarbiyyah KUPU SB itu dihadiri oleh Ra’es KUPU SB, Dr. Hajah Masnon binti Haji Ibrahim selaku tetamu kehormat yang turut menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Muncul juara Musabaqah Tilawah Al-Quran dan Tafsiran dalam Kategori A iaitu untuk staf yang pernah bertanding membaca Al-Quran peringkat kawasan dan negara ialah kumpulan dari Fakulti Pendidikan, Awang Zulkifli bin Haji Zakaria dan Awang Ali Hardi bin Haji Muhammad.

Kategori B iaitu untuk staf yang belum pernah mengikuti pertandingan membaca Al-Quran, pula dijuarai oleh kumpulan dari Pusat Bahasa iaitu Dayang Nurul Azimah binti Abdul Hamid dan Hajah Falilnesa binti Haji Mohamed Arfan.

Manakala itu, Peraduan Membaca Teks Kitab Turath dan Huraian pula dijuarai oleh Awang Jalauddin Jamil bin Mohd dan Dayang Siti Hawa binti Saidin, masing-masing bagi bahagian siswa dan siswi.

Dr. Hajah Masnon (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta.
Dr. Hajah Masnon (tengah) menyampaikan hadiah kepada peserta.
Johan Kategori A, Awang Zulkifli dari Fakulti Pendidikan (kanan).
Johan Kategori A, Awang Zulkifli dari Fakulti Pendidikan (kanan).

Menurut kenyataan KUPU SB, Musabaqah Tilawah Al-Quran dan Tafsiran merupakan salah satu daripada aktiviti bermusim Jabatan Al-Quran, Pusat Ilmu Teras, KUPU SB.

Ia merupakan saluran untuk memberi ruang kepada warga KUPU SB mengasah bakat dan meningkatkan potensi mereka dalam tilawah Al-Quran dan tafsirannya, di samping sebagai penjana kepada motivasi diri warga staf dalam pengamalan bacaan Al-Quran bukan sahaja semasa bertugas malahan dijadikan sebagai amalan harian.

Antara objektifnya adalah bagi mengenal pasti kebolehan dan kemampuan kakitangan dalam pembacaan Al-Quran dan tafsirannya, di samping menanam semangat budaya membaca dan mencintai Al-Quran serta mentadabbur tafsiran Al-Quran.

Selain itu, pertandingan itu juga diadakan bagi menyemarakkan syiar Islam melalui Al-Quran sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB ke-5 dan memartabatkan pengajian kitab Turath di KUPU SB.

ARTIKEL YANG SAMA