Asah bakat usahawan baru

Asah bakat usahawan baru

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Sept – Pembentangan idea perniagaan Al-Huffaz Management oleh Haji Mohammad Loqman Al-Hakim bin Haji Hamdan, berjaya menambat hati para hakim dan dinobatkan sebagai juara dalam Pusingan Akhir Pertandingan Keusahawanan Belia yang berlangsung di Universiti Teknologi Brunei (UTB), hari ini.

Hadiah-hadiah pemenang utama pertandingan berkenaan disampaikan oleh Naib Canselor UTB, Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.

Dalam pertandingan akhir itu, seramai 15 orang peserta membentangkan idea-idea perniagaan mereka di hadapan panel hakim dengan pembentangan idea perniagaan Haji Mohammad Loqman Al-Hakim dipilih sebagai juara pertandingan, idea perniagaan Teachmeguru oleh Awang Azim Yusof mendapat tempat kedua dan idea perniagaan Power Go oleh Awang Muhammad Hafizuddin bin Haji Rosli mendapat tempat ketiga.

Sementara itu, anugerah pembentangan terbaik diberikan kepada dua orang penerima iaitu Animal K oleh Dayang Nur Fatin Fa’ezah binti Rifli dan The International Borneo Railway System oleh Awang Khairul Nasrun Adanan yang mana hadiah bagi anugerah itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Darussalam Enterprise (DARE), Loo Yau Soon (Soon Loo).

Di majlis itu juga, Soon Loo turut menyempurnakan penyampaian hadiah bagi peserta-peserta yang menduduki tempat ke-10 hingga ke-6 dan pemenang-pemenang yang menduduki tempat ke-15 hingga ke-11 menerima sijil penyertaan daripada Pengerusi Pertandingan dan Ketua Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Ekonomi dan Keusahawanan, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Qayyum bin Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Haji Muhammad Bey Muntassir.

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Qayyum (kanan), Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah dan Soon Loo ketika hadir semasa Pusingan Akhir Pertandingan Keusahawanan Belia yang berlangsung di UTB, kelmarin.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Qayyum (kanan), Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah dan Soon Loo ketika hadir semasa Pusingan Akhir Pertandingan Keusahawanan Belia yang berlangsung di UTB, kelmarin.
Barisan panel hakim semasa pusingan akhir pertandingan itu.
Barisan panel hakim semasa pusingan akhir pertandingan itu.

Terdahulu sebelum penyampaian hadiah kepada para pemenang, Soon Loo dalam ulasannya berkata, pertandingan itu amat penting kerana ia memberikan peluang kepada golongan muda dan belia untuk mengetengahkan idea perniagaan mereka serta mendapat maklum balas mengenai idea itu supaya dapat diperhalusi lagi.

Beliau turut berkata, pertandingan itu merupakan peluang yang baik bagi memupuk dan mengasah bakat-bakat usahawan baru yang mampu menerajui bidang keusahawanan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

Beliau percaya kerjasama daripada semua pihak itu, bukan sahaja dapat menghasilkan idea perniagaan yang baik tetapi juga mampu untuk memperkenalkan idea-idea yang boleh membantu merubah iklim perniagaan negara.

“Satu perniagaan yang bermula, pada awalnya, mungkin kelihatan sebagai satu perniagaan bersendirian. Tetapi ia boleh menjadi satu contoh bagi perniagaan yang lain dan mampu untuk meneroka pasaran di luar negara.”

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Qayyum ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima.
Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad Abdul Qayyum ketika menyampaikan sijil kepada salah seorang penerima.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah ketika menyampaikan sijil kepada Haji Mohammad Loqman Al-Hakim.
Profesor Madya Dr. Hajah Zohrah ketika menyampaikan sijil kepada Haji Mohammad Loqman Al-Hakim.

Haji Mohammad Loqman Al-Hakim ketika ditemui oleh Media Permata selepas penyampaian hadiah, menyatakan perasaan gembira dan amat bersyukur kerana idea perniagaannya telah dipilih untuk menjuarai pertandingan itu.

Beliau menyatakan penghargaan kepada kedua-dua ibu bapanya yang banyak memberikan sokongan kepadanya serta juga bantuan daripada mentornya yang memberikan tunjuk ajar dan bimbingan buat dirinya.

Beliau berkata, kemenangan itu memberikan semangat dan menunjukkan bahawa usahanya tidak sia-sia.

Baginya untuk mencapai kejayaan bukan saja memerlukan visi tetapi juga perancangan yang teratur.

Mengulas mengenai harapannya selepas kemenangan itu, Haji Mohammad Loqman Al-Hakim berkata, perancangan terdekat adalah untuk mengadakan kem pembentangan (pitch camp) dengan DARE untuk membantu usahawan tempatan terutama belia muda menyerlahkan potensi dan sama-sama mencari inspirasi mereka di dalam bidang keusahawanan.

Awang Muhammad Hafizuddin membentangkan idea perniagaannya, Power Go, kepada panel hakim semasa pusingan akhir pertandingan itu.
Awang Muhammad Hafizuddin membentangkan idea perniagaannya, Power Go, kepada panel hakim semasa pusingan akhir pertandingan itu.

Pertandingan itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Eksekutif Ekonomi dan Keusahawanan di bawah Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Brunei di mana ia bermatlamat untuk memberikan pendedahan kepada para peserta kepada kaedah-kaedah efektif untuk membangunkan dan membentangkan idea model perniagaan mereka.

Di samping itu, ia dihasratkan untuk membantu para pelajar di seluruh negara untuk mendedahkan idea perniagaan mereka serta menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk sama-sama mengambil bahagian dalam membentangkan idea-idea mereka.

Pertandingan itu bermula dengan sesi ceramah mengenai keusahawanan belia yang dikendalikan oleh DARE.

Dalam pusingan awal pertandingan, seramai 25 orang peserta telah disenarai pendekkan daripada 30 orang peserta untuk ke pusingan separuh akhir di mana hanya 15 orang peserta dipilih untuk membentangkan idea perniagaan mereka di pusingan akhir pertandingan.

Para pemenang yang terpilih dalam pertandingan itu, digalakkan untuk menyertai platform keusahawanan kebangsaan iCentre.