Asah kecekapan kendali trak khas

Asah kecekapan kendali trak khas

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 21 Okt – Seramai 30 kakitangan TeamOne Environmental Technologies (TET) menjalani sesi latihan terakhir mengendalikan trak-trak baru direka khas oleh syarikat itu dan dibina oleh Scania dan Scomi, di ibu pejabatnya di Kuala Belait, hari ini.

Latihan selama dua hari itu dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Syarikat Scania dan Scomi itu, melatih pemandu dalam pemahaman teori dan praktikal mengenai penggunaan dan fungsi kenderaan yang direka khas untuk persekitaran hijau.

Pengarah TET, Awang Hafiiz bin Ramle ketika ditemu bual wartawan Media Permata, mengatakan trak-trak yang dipanggil Vacuum Tanker itu adalah bagi tujuan kerja-kerja pembersihan bahan buangan berbahaya dan tidak berbahaya.

“Kami mempunyai sembilan buah trak khas ini dan ia mampu menampung sebanyak 6.5, 10, 13.5 dan 21 tan sisa buangan termasuk 20 tan simen dan trak-trak khas ini menggunakan bahan api mesra alam yang hanya mengeluarkan pencemaran toksik rendah. Ia juga mempunyai pam tekanan tinggi dan pam pemindahan bahan buangan sendiri, menjadikannya sedikit berbeza daripada trak-trak yang lain,” jelasnya.

Awang Hafiiz menunjukkan penggunaan trak-trak baru ini kepada kakitangannya.
Awang Hafiiz menunjukkan penggunaan trak-trak baru ini kepada kakitangannya.
kakitangan Syarikat TET semasa menjalani latihan.
kakitangan Syarikat TET semasa menjalani latihan.

Menurutnya, 30 kakitangannya yang mengikuti latihan adalah pemandu-pemandu yang mempunyai penolongnya sendiri, dibahagikan kepada 15 orang bagi satu sesi latihan setiap hari dan mereka adalah dipertanggungjawabkan untuk menggunakan trak-trak ini bagi keperluan kerja-kerja pembersihan di dalam industri minyak dan gas negara.

Ia juga boleh diguna pakai untuk keperluan industri-industri lain yang memerlukan kenderaan seperti ini.

Awang Hafiiz juga menyatakan bahawa kesemua 30 orang kakitangan di bawah Syarikat TET merupakan pekerja tempatan, selaras dengan usaha kerajaan untuk memastikan anak-anak tempatan menerajui industri minyak dan gas.

ARTIKEL YANG SAMA