Asas ideologi keganasan perlu dihapuskan

Asas ideologi keganasan perlu dihapuskan

ASTANA, Kazakhstan, 1 Jun – Presiden Kazakhstan Nursultan Nazarbayev berkata ancaman keganasan telah mengubah konsep keselamatan antarabangsa secara mendadak, dan adalah perlu untuk meningkatkan kerjasama bagi menangani ancaman global itu.

Sambil menegaskan perlunya menghapuskan asas-asas ideologi keganasan, beliau menggesa ahli-ahli politik, pemimpin agama, golongan pemikir dan media massa untuk berganding bahu dalam usaha tersebut.

“Keganasan tidak memilih sempadan dan membahagikan negara kepada kaya dan miskin. Kita masih tidak mempunyai penyelesaian universal untuk mengatasi bahaya ini,” katanya.

Nazarbayev berkata demikian dalam perutusannya yang dibacakan Pengerusi Senat Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev pada Persidangan Antarabangsa Mengenai Agama Terhadap Keganasan, di sini hari ini.

Persidangan sehari itu menyaksikan penyertaan 77 wakil terdiri daripada anggota parlimen, pemimpin agama, pemimpin negara, ketua-ketua organisasi antarabangsa dan pakar-pakar dari 41 buah negara.

Tokayev, dalam ucapan alu-aluannya, berkata rakyat perlu menyedari bahawa keganasan mesti ditentang tidak saja oleh negara-negara individu atau kumpulan mereka, tetapi juga oleh seluruh masyarakat dunia.

“Kita boleh memerangi kejahatan global ini hanya menerusi usaha bersama… kita harus bergerak dari tindakan setempat kepada strategi komprehensif,” kata beliau.

Beliau berkata para pemimpin agama dan ahli parlimen, selaku wakil rakyat yang penting dan berpengaruh, harus melibatkan diri dalam aktiviti kaunter-ekstremisme termasuk langkah-langkah pembanterasan dan pengurusan krisis serta pembinaan semula masyarakat yang menderita akibat keganasan dan ekstremisme.

Tokayev berkata media massa juga perlu membentuk dan menyebarkan norma-norma etika bagi menyekat percubaan mencetus kebencian agama. – Bernama

 

ARTIKEL YANG SAMA