Asas tangani kebakaran

Asas tangani kebakaran

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 11 Sept – Lebih 30 ahli Majlis Perundingan Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan dan belia-belia kampung berkenaan telah menyertai Kursus Singkat Menangani Kejadian Kebakaran, yang diadakan di Balai Bomba Brunei Shell Petroleum (BSP) di sini, hari ini.

Kursus selama tiga jam itu dikendalikan bersama Jabatan Perhubungan Awam BSP dengan Bomba BSP dengan tujuan untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada masyarakat serta penduduk di daerah ini dalam mengongsikan pengetahuan dan pengalaman demi kesejahteraan bersama.

Turut hadir semasa kursus berkenaan ialah Penghulu Mukim Seria, Haji Jamail bin Haji Linap.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Ketua Bomba BSP, Haji Ismail bin Rajab berkata, kursus singkat itu merupakan yang kedua mereka kendalikan setelah kali pertama melibatkan penyertaan ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung Sungai Teraban pada bulan Jun lalu.

Mereka juga dijangka akan mengadakan buat kali ketiga dengan melibatkan ahli-ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Kampung di Kuala Belait sebelum penghujung tahun ini.

Salah seorang peserta diberikan tunjuk ajar menggunakan pemadam api.
Salah seorang peserta diberikan tunjuk ajar menggunakan pemadam api.
Antara yang menyertai Kursus Singkat Menangani Kejadian Kebakaran.
Antara yang menyertai Kursus Singkat Menangani Kejadian Kebakaran.
Haji Ismail ketika mengalu-alukan peserta kursus terdiri daripada ahli jawatankuasa MPK STKRJ Lorong Tiga Seria dan Panaga Seria.
Haji Ismail ketika mengalu-alukan peserta kursus terdiri daripada ahli jawatankuasa MPK STKRJ Lorong Tiga Seria dan Panaga Seria.

“Kursus ini juga dijangka akan dilaratkan dengan penglibatan ahli-ahli jawatankuasa sementara Perumahan Kampung Panaga, Seria, dan sepanjang kursus diadakan, peserta-pesertanya akan berpeluang mendengarkan taklimat bagaimana mengelakkan kebakaran, pencegahan kebakaran dan keselamatan di rumah, dan dalam masa yang sama mengajak supaya para peserta menyebar- luaskan pengetahuan yang diperoleh kepada ahli-ahli keluarga,” ujarnya.

Menerusi kursus itu, para peserta telah berpeluang menyaksikan demonstrasi memadam api serta merasakan sendiri cabaran masuk bilik gelap, sebagai senario jika terperangkap di dalam bangunan ketika kebakaran berlaku.

Selain itu, mereka turut ditunjukkan cara mengosongkan bangunan dan berkumpul ke tempat berkumpul kecemasan semasa siren kecemasan dibunyikan.

Keseluruhan kursus merupakan asas dalam membantu masyarakat berupaya membantu masyarakat lainnya yang menghadapi kecemasan, sementara menunggu pihak bomba tiba ke tempat kejadian.

Ketua Kampung STKRJ Lorong Tiga Selatan Seria Haji Saidin bin Haji Ibrahim, yang mengetuai rombongan berkenaan memberitahu, aktiviti berkenaan merupakan salah satu program bersempena cuti penggal persekolahan.

Ia memberikan peluang kepada ahli-ahli MPK tersebut serta belia-belia yang menyertainya, untuk menimba pengetahuan dan pengalaman yang bermanfaat terutamanya jika menghadapi kejadian kecemasan di mana saja mereka berada.

Salah seorang belia yang menyertai kursus itu, Awang Mohd Zakiyyan bin Hassan, 19, memberitahu ini merupakan kursus mencegah kebakaran pertama yang disertainya sejak berhenti sekolah.

Menurut bekas pelajar Maktab Kejuruteraan Jefri Bolkiah (MKJB), yang meminati tugas sebagai anggota bomba terutama dalam bidang teknikal, semasa di sekolah menengah dia sering menyertai kursus seperti itu yang diadakan di sekolah, bagaimanapun, penyertaannya hari ini memberikan pengalaman baru kerana adalah penting meningkatkan kemahiran dari segi teknikal.

ARTIKEL YANG SAMA