Asas tangani kecemasan

Asas tangani kecemasan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 17 Ogos – Syarikat Atoll Oxygen Sdn Bhd, syarikat tempatan yang beroperasi dalam pembuatan dan membekalkan gas perubatan dan perindustrian, buat pertama kalinya telah mengadakan Latihan Marsyal Bomba di kawasan ibu pejabat syarikat mereka, di Sungai Duhon di sini.

Latihan yang berlangsung selama tiga hari, hingga esok, itu disertai 15 orang kakitangan syarikat berkenaan selain penyertaan beberapa orang kakitangan yang dijemput dari Syarikat Teamone Environmental Technology Sdn Bhd.

Sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat, latihan tersebut melibatkan seminar dan latihan praktikal yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Cawangan Operasi B Kuala Belait dengan diketuai oleh Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Operasi B, SO Azlina binti Haji Adnan.

Turut menghadiri latihan tersebut ialah Pengarah Syarikat Atoll Oxygen Sdn Bhd, Pengiran Umar bin PLU Pengiran Haji Mohd Said yang melahirkan harapan bahawa melalui latihan tersebut akan dapat memberikan kesedaran kepada kalangan pekerja-pekerja syarikatnya, dan mempunyai kecekapan dalam menangani sebarang kejadian kecemasan terutamanya syarikat tersebut beroperasi dalam pembuatan dan menghasilkan gas perubatan dan perindustrian yang dikategorikan sebagai bahan berbahaya dan mudah terbakar.

Sementara itu, SO Azlina semasa ditemui selepas menyampaikan taklimat semasa latihan berkenaan, hari ini, berkata bahawa selaras dengan visi dan misinya untuk mengurangkan kadar kejadian daripada terus merebak dan untuk bekerjasama dengan masyarakat dalam melindungi apa yang mereka hargai, Jabatan Bomba dan Penyelamat terus memberikan latihan kepada orang awam.

Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Operasi B Kuala Belait bergambar ramai bersama warga Syarikat Atoll Oxygen Sdn Bhd dan Teamone Environmental Technology Sdn Bhd.
Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat cawangan Operasi B Kuala Belait bergambar ramai bersama warga Syarikat Atoll Oxygen Sdn Bhd dan Teamone Environmental Technology Sdn Bhd.

Tambahnya, latihan-latihan untuk memberikan pengetahuan asas, mengenai tatacara tindakan utama ketika berlakunya kejadian kecemasan, memberikan pengetahuan tindakan yang perlu dan yang tidak perlu dilakukan, serta mengenalkan alat-alat pemadam api, alat-alat pencegah kebakaran, perlindungan, alat-alat aktif dan pasif yang diperlukan, dan sebagainya, adalah antara latihan yang sering diberikan kepada syarikat-syarikat, jabatan-jabatan kerajaan dan lainnya.

Menyentuh mengenai latihan anjuran Syarikat Atoll Oxygen Sdn Bhd, beliau berkata, ia akan berakhir esok di Balai Bomba Kuala Belait, dan dalam latihan hari ini, turut diadakan ujian tatacara menyelamatkan mangsa jika berlaku kejadian kecemasan telah diadakan.

Menurutnya daripada latihan-latihan yang diberikan, Jabatan Bomba dan Penyelamat berharap akan dapat menyedarkan orang awam terutama kakitangan syarikat berkenaan mengenai bahayanya api, dan tindakan yang perlu dilakukan segera semasa kecemasan.

“Melalui latihan ujian persendirian, peserta-peserta yang terdiri daripada marsyal bomba syarikat ini, akan diberikan latihan bagaimana untuk mengeluarkan atau menyelamatkan kakitangan yang menjadi mangsa kejadian ke tempat yang lebih selamat.

“Manakala esok, hari terakhir latihan, ianya akan diadakan di Balai Bomba Kuala Belait, dan peserta akan diberikan latihan untuk masuk ke bilik asap dan bilik gelap bagi mengawal keadaan panik dan mengelakkan daripada terperangkap dalam bangunan,” katanya.

Sebagai marsyal bomba, tambahnya, peserta mesti mengetahui bagaimana membimbing dan mengawal orang yang di bawah kawalan mereka untuk keluar dari bangunan sebelum ketibaan anggota bomba di tempat kejadian dan mengelakkan mangsa daripada terperangkap.

Beliau juga menyeru syarikat-syarikat lain untuk sama-sama menyedari serba sedikit akan bahayanya api dan ia amat berguna bukan sahaja untuk keperluan pejabat tetapi bersama.

Dalam pada itu, mereka yang berhajat untuk menyertai latihan yang diberikan secara percuma itu, bolehlah menghantarkan permohonan kepada Pegawai Pemerintah Jabatan Bomba Operasi B Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA