ASEAN ambil serius ketegangan di Laut China Selatan

ASEAN ambil serius ketegangan di Laut China Selatan

VIENTIANE, 28 Feb (Reuters) – Negara-negara Asia Tenggara meluahkan kebimbangan semalam mengenai ketegangan antarabangsa yang meningkat mengenai perairan yang dipertikaikan di Laut China Selatan.

China menuntut kebanyakan laut tetapi negara Asia Tenggara Malaysia, Filipina, Brunei dan Vietnam mempunyai tuntutan saingan. Perselisihan telah meningkat disebabkan penghantaran peluru berpandu dan jet pejuang oleh China baru-baru ini di rangkaian pulau Paracel.

“Menteri-menteri masih bimbang mengenai perkembangan berterusan dan yang terbaru ini,” kata Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam satu kenyataan selepas mesyuarat menter-menteri luar kumpulan di Laos.

Kegiatan penebusgunaan tanah telah menambah ketegangan dan mungkin menjejas keamanan, keselamatan dan kestabilan di rantau, kata ASEAN dalam kenyataan. Amerika Syarikat telah mengkritik pembinaan pulau tiruan oleh China di laut berkenaan dan menghantar kapal perang berhampiran wilayah yang dipertikaikan untuk menuntut hak kebebasan pelayaran.

Pada Jumaat, Amerika Syarikat menggesa Presiden China Xi Jinping supaya menghalang kegiatan penenteraan rantau. Vietnam, yang menuduh China mencabul kedaulatannya dengan penghantaran peluru berpandu, mengulang permintaan AS semalam.

Kumpulan itu bersetuju untuk mengadakan mesyuarat di antara China dan menteri-menteri luar ASEAN untuk membincang Laut China Selatan dan isu lain, kata Menteri Kemboja Hor Namhong.

Tuntutan laut China merupakan isu paling kontroversi ASEAN, tatkala anggotanya bergelut untuk mengimbangi sokongan bersama dengan hubungan ekonomi mereka dengan Beijing. China adalah rakan perniagaan terbesar untuk kebanyakan negara ASEAN.

Negara jiran Vietnam dan China bersaing untuk pengaruh di Laos, yang tidak mempunyai tuntutan laut tetapi mendapati dirinya dalam kedudukan sukar berurusan dengan negara jiran yang bertengkar mengenai Laut China Selatan. Laos ditugaskan mencari penyelesaian mengenai isu sebagai pengerusi ASEAN pada 2016.

ARTIKEL YANG SAMA