ASEAN anjur Hari Keluarga di Mexico

ASEAN anjur Hari Keluarga di Mexico

BANDARAYA MEXICO, 7 Mac (Bernama) – Kedutaan asing negara anggota ASEAN di Mexico telah mengadakan Hari Keluarga pada Ahad lalu bagi memperkukuh hubungan dan jalinan persahabatan sesama mereka, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Ketika merasmikan acara itu, Duta Thailand merangkap Pengerusi Jawatankuasa ASEAN di Mexico yang disandang secara bergilir, Surasak Chuasukonthip, menggariskan kepentingan aktiviti sedemikian dalam kalangan anggota terutama selepas penubuhan rasmi Komuniti ASEAN pada 31 Dis 2015.

Beliau turut menggesa kedutaan asing ASEAN di Mexico agar saling membantu dalam usaha menggalakkan semangat ASEAN.

Diplomat dan anggota keluarga masing-masing serta pelajar dari negara ASEAN mengambil bahagian dalam pelbagai sukan serta permainan rakyat.

Kedutaan Indonesia menyelaras satu persembahan aerobik manakala makanan Vietnam seperti popia goreng, bihun dan udang goreng mendapat sambutan hangat daripada peserta.

Hari Keluarga itu adalah aktiviti kedua anjuran bersama negara anggota ASEAN tahun ini.

Aktiviti pertama ialah mempromosi pelancongan dan perniagaan ASEAN di negeri Jalisco dan Colima yang terletak di barat Mexico.

Vietnam akan mengambil alih kerusi Jawatankuasa ASEAN di Mexico pada pertengahan tahun kedua. Jawatankuasa itu terdiri daripada Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Vietnam.

ASEAN (Persatuan Negara Negara Asia Tenggara) dianggotai sepuluh negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.