ASEAN bersedia untuk AEC

ASEAN bersedia untuk AEC

pg18_150622_bKUALA LUMPUR, 21 Jun (Bernama) – Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) akan berkuat kuasa pada akhir 2015, dan ramai yang mempersoalkan persiapan Malaysia, sebagai pengerusi ASEAN pada tahun ini.

Dari perspektif anggota bukan ASEAN, Malaysia bersama-sama negara anggota ASEAN bersedia untuk mengalu-alukan AEC dalam mencapai matlamat integrasi ekonomi serantau.

Antara matlamat AEC ialah menggalakkan pasaran tunggal dan asas pengeluaran, membangunkan wilayah ekonomi yang kompetitif dan rantau bersepadu dalam ekonomi global.

Pengerusi Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah-Malaysia (EUMCCI) Fermin Fautsch berkata prospek bagi Malaysia dan ASEAN adalah positif, sama ada dalam kalangan 10 negara anggota atau tidak lama lagi AEC dengan negara-negara lain.

Menurut beliau, ASEAN dijangka menjadi ekonomi keenam terbesar di dunia menjelang 2020 dan untuk mencapai status tersebut, setiap anggotanya perlu mengukuhkan intra-perdagangan dalam komuniti sebelum berdagang sebagai sebuah komuniti dengan blok perdagangan lain.

Ini tidak mustahil berikutan kebanyakan tarif dalam ASEAN telah dimansuhkan, menjadikan proses perdagangan lebih mudah, katanya.

“Lebih 98 peratus daripada barangan, pada dasarnya tiada tarif dan ini akan memberi manfaat kepada negara-negara ASEAN dan tidak lama lagi akan memberi faedah kepada negara lain yang mempunyai perdagangan dengan komuniti ASEAN.

“Pada masa ini, intra-perdagangan di ASEAN hanya kira-kira 25 peratus berikutan kebanyakannya merupakan perdagangan dengan negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jepun dan China,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata senario ini adalah normal berikutan mana-mana negara biasanya mahu membina hubungan perdagangan dengan negara-negara besar dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi.

Kesatuan Eropah misalnya, beliau berkata negara dalam kumpulan itu juga turut fokus kepada membina hubungan dengan ekonomi yang semakin berkembang berbanding dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah.