ASEAN bincang isu berkaitan tarif, ATIGA

KUALA LUMPUR, 12 Sept – Perbincangan berkaitan hal ehwal ekonomi dalaman ASEAN, yang diadakan di Filipina semasa Majlis Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN ke-31, memberi penekanan kepada isu berkaitan komitmen tarif dan peraturan yang dapat digunakan di bawah Perjanjian Barangan dalam Dagangan ASEAN (ATIGA). Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, usaha dilaksanakan secara berterusan untuk mengurangkan dan akhirnya menghapuskan halangan bukan tarif (NTB) dan langkah bukan tarif (NTM) yang dikenal pasti dalam lingkungan negara anggota perkumpulan.

“Malaysia, khususnya, terus berperanan aktif terutama dalam menerajui usaha menyelesaikan isu berlarutan NTB dan NTM,” menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, setakat ini, daripada 74 NTM/NTB yang dilaporkan, 54 kes telah diselesaikan.

MITI berkata, para menteri juga menyokong kepentingan Penyelesaian bagi Pelaburan, Perkhidmatan dan Perdagangan ASEAN di samping kemudahan berasaskan Internet dan mesra perniagaan yang dilancarkan semasa Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada 2015, dalam menguruskan aduan perusahaan dalam ASEAN.

Menurut MITI, dalam merealisasikan mandat menteri-menteri ekonomi ASEAN untuk menggandakan dagangan intra-rantau menjelang 2025, para menteri menjelaskan bahawa inisiatif berterusan dilaksanakan oleh Tetingkap Tunggal ASEAN, sejak 1 Ogos 2017 selain usaha sedang dijalankan berpandukan Skim Pensijilan Kendiri Seluruh ASEAN dengan tarikh akhir pada 2018.

Mengenai pemudahan dagangan ASEAN, MITI berkata, menteri-menteri turut menekankan penyiapan Pelan Tindakan Strategik Pemudahan Perdagangan 2017-2025 oleh Komuniti Ekonomi ASEAN dan mengesahkan semula sasaran 10 peratus pengurangan kos transaksi dagangan menjelang 2020.

Bagi mesyuarat Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) Peringkat Menteri kali kelima, yang berlangsung 10 September 2017 di Pasay City, Filipina, MITI berkata, para menteri mengulangi objektif RCEP adalah perjanjian perkongsian ekonomi yang terkini, menyeluruh, berkualiti tinggi dan mempunyai manfaat bersama. – Bernama