ASEAN cipta sejarah

ASEAN cipta sejarah

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan menandatangani deklarasi bersejarah Deklarasi Kuala Lumpur 2015 bagi Penubuhan Komuniti ASEAN menjelang 31 Disember 2015 yang menggariskan ketetapan untuk meningkatkan integrasi di rantau yang mempunyai populasi lebih 600 juta.

Turut ditandatangani ialah Deklarasi Kuala Lumpur bagi ASEAN 2025: Bersama Melangkah Ke Hadapan, dokumen yang menggariskan hala tuju komuniti itu untuk 10 tahun akan datang.

Deklarasi-deklarasi Kuala Lumpur tersebut juga ditandatangani oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak, selaku Pengerusi ASEAN serta ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN yang lainnya.

Pemimpin ASEAN lain yang menandatangani dokumen tersebut ialah Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Laos Thongsing Thammavong, Presiden Myanmar U Thein Sein, Presiden Filipina Benigno S. Aquino, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Thailand Prayut Chan-o-cha dan Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung.

Selepas majlis pemeteraian itu, para pemimpin berkenaan memuktamadkan upacara itu dengan membuat satu pukulan pada dram secara serentak, melambangkan keazaman ASEAN ke arah menjadi satu komuniti.

Baginda Sultan berkenan menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2015 di Kuala Lumpur, kelmarin. - Infofoto
Baginda Sultan berkenan menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur 2015 di Kuala Lumpur, kelmarin. – Infofoto
Baginda Sultan semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di KLCC. – Infofoto
Baginda Sultan semasa menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di KLCC. – Infofoto

Ditubuhkan selepas 48 tahun kewujudan perkumpulan itu, Komuniti ASEAN berteraskan tiga tonggak iaitu Komuniti Politik dan Keselamatan ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosiobudaya ASEAN.

Dalam ucapan pada upacara itu, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib berkata terlalu banyak faedah yang bakal diraih daripada komuniti berkenaan dari segi ekonomi yang akan turut memanfaatkan kehidupan harian semua warganya. Tetapi, katanya, gagasan Komuniti ASEAN sebenarnya melangkaui semua itu.

“Ia juga mengenai kita semua sebagai ASEAN, mengiktiraf bahawa sesuatu yang istimewa mengikat kita, dan menjadikan semua warga kita merasakan ASEAN sebagai denyut nadi mereka,” katanya.

Beliau mengambil perhatian bahawa cara ASEAN telah mengemudi perkumpulan serantau ini dan akan terus menjadi kompasnya dalam usaha untuk mencapai kesepaduan politik, integrasi ekonomi lebih padu, memikul tanggungjawab sosial dan menjadi ASEAN berorientasikan rakyat, berpaksikan rakyat dan berasaskan peraturan yang sebenarnya.

Diunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) ASEAN akan mencecah AS$4.7 trilion menjelang 2020, dan menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia seawal 2030.

Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib berkata secara amali, rantau ini telah menghapuskan hampir semua halangan tarif di bawah Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN, menjadikan industri pembuatan lebih kompetitif dalam pasaran global dan mengurangkan kos untuk semua.

“Kita kini perlu memastikan yang kita mewujudkan pasaran tunggal dan berasaskan pengeluaran dalam erti kata sebenar, dengan pergerakan lebih bebas barangan dan perkhidmatan,” katanya dengan memberikan contoh akan kelebihan bagi piawaian seragam dan peningkatan kesalinghubungan bagi rantau ini.

Perdana Menteri turut menyusuri peranan bersejarah dimainkan ayahanda beliau, perdana menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein, dalam penubuhan ASEAN pada 1967.

Najib berkata beliau hanya berumur 15 tahun ketika ayahandanya Almarhum Tun Razak, bersama-sama dengan Adam Malik dari Indonesia, Narciso R. Ramos dari Filipina, S. Rajaratnam dari Singapura dan Thanat Khoman dari Thailand menubuhkan ASEAN. Mereka ketika itu ialah Menteri Luar.

Brunei, Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam menyertai perkumpulan itu pada peringkat berbeza kemudiannya.

“Malah pada usia itu, saya sudah mempunyai kesedaran bahawa (penubuhan ASEAN) mewakili perubahan penting dalam cara negara-negara di rantau ini dalam berurusan antara satu sama lain. Bagaimanapun, kita mungkin kurang arif akan betapa bersejarah dan pentingnya saat itu,” katanya.

Idea bagi pembentukan Komuniti ASEAN diilhamkan di Bali pada 2003.

Dengan pembentukan Komuniti ini, Najib berkata: “Kita kini telah meningkatkan tanda aras dan jangkaan rakyat kita, dan kita bertanggungjawab untuk memenuhi aspirasi-aspirasi generasi muda kita, dan generasi akan datang.”

Perdana Menteri menegaskan pemimpin ASEAN perlu meneruskan usaha yang dirumuskan Deklarasi Bangkok pada 1967 yang menandakan kelahiran ASEAN, dengan mengeratkan ikatan menerusi semangat setiakawan dan kerjasama.

“Ini akan dilakukan menerusi usaha bersama dan juga pengorbanan untuk memastikan rakyat kita dan generasi akan datang kekal menikmati keamanan, kebebasan dan kemakmuran. “Komuniti ASEAN merupakan pencapaian penting dalam perjalanan untuk mencapai matlamat berkenaan,” katanya.

Selepas penandatanganan itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat ke KLCC bagi menghadiri Kenyataan Bersama mengenai Rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (R.C.E.P.).

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan menyaksikan Majlis Penandatanganan Protokol bagi Pindaan Perjanjian Rangka Kerja mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif antara ASEAN dan Republik Rakyat China.

Menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng.

Kemudian, Baginda Sultan berkenaan berangkat ke Majlis Santap Tengah Hari bagi Ketua-ketua Negara dan Kerajaan Asia Timur yang dihoskan oleh Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib selaku selaku Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan.

Mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim; Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng; Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar; dan Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Malaysia, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Alaihuddin bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Lela Dato Seri Utama Haji Awang Mohd Taha.